KENYATAAN MEDIA KETUA PENERANGAN AMK SABAH.

*Kenyataan Media*

*22 Oktober 2019, Selasa*

*Isu Peralihan Kuasa, Azmin Jangan Jadikan Tun Dr.Mahathir Seorang Munafik*

Saya ingin merujuk kepada kenyataan terbaru Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Azmin Ali yang menggesa Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr.Mahathir Mohamad untuk menghabiskan penggal sebagai Perdana Menteri hingga Pilihanraya Umum ke-15.

Pada pandangan saya kenyataan beliau tidak lain selain cuba "menjilat" Tun Dr.Mahathir dan cuba untuk menghalang Dato' Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri walaupun isu ini sebenarnya sudah selesai dan pimpinan keempat-empat parti telah maklum akan peralihan kuasa ini.

Azmin dilihat semakin tidak senang duduk akan keadaan terkini apatah lagi ketika peralihan kuasa semakin hampir. Akan ada kenyataan dari beliau dan 'orang-orangnya' untuk menentang peralihan kuasa sedangkan pimpinan keempat-empat parti tidak mempunyai isu untuk menangguh mahupun menentang peralihan kuasa samada dari PPBM, AMANAH, DAP dan KEADILAN sendiri.

Azmin juga menyatakan "mereka yang berhasrat untuk mengambil-alih sebelum berakhirnya penggal kerajaan sekarang harus dirujuk sebagai 'kerajaan pintu belakang' ."

Saya merasakan Beliau perlu 'cermin diri' dan imbas kembali bagaimana beliau menjadi Menteri Besar Selangor dan mengulangi perkara sama kepada Menteri Besar Selangor hari ini. Beliau menjadi Menteri Besar Selangor walau individu lain yang telah dipersetujui. Begitu juga bila pemimpin keempat-empat parti dalam Pakatan Harapan menandatangani persetujuan untuk mengangkat individu lain sebagai Menteri Besar Selangor menggantikan Azmin namun dengan 'pengalaman pintu belakang' beliau berjaya menjadikan 'orangnya' sebagai Menteri Besar Selangor hari ini.

Ini bukanlah kali pertama saya menegur Azmin supaya menghormati konsesus Pakatan Harapan. Saya pernah mengeluarkan kenyataan bertajuk "Pakatan Rakyat Telah Berkubur, Azmin Perlu Sedar" pada 6 Julai 2017 selepas Azmin enggan mengiktiraf kerajaan Pakatan Harapan di Selangor dan masih ingin meruskan kerjasama dengan PAS yang telah mengkhianati Pakatan Rakyat pada masa itu. Begitu juga Zuraida Kamarudin yang menolak pembentukan Pakatan Harapan.

Namun hari ini Azmin menjadi Menteri kanan dalam kerajaan yang beliau tentang penubuhannya dulu. Ketika pimpinan lain berusaha menubuhkan Pakatan Harapan di peringkat negeri dan kawasan, beliau sibuk berkempen bersama PAS dan masih menolak Tun Mahathir sebelum PRU-14. Hari ini beliau merupakan Menteri Hal Ehwal Ekonomi di bawah kerajaan Pakatan Harapan dan Menteri pengiring kepada Perdana Menteri.

Tindakan beliau jelas seolah mengajak pimpinan lain untuk menjadi 'munafik' seperti beliau dengan melanggar konsesus Pakatan Harapan yang telah dipersetujui.

Umum mengetahui persetujuan mengangkat Dato' Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia telah termaktub dalam Perjanjian Muafakat Pakatan Harapan yang dipersetujui keempat-empat parti pada 6 Januari 2018 dan diumum semasa Konvensyen Pakatan Harapan pada 7 Januari 2018. Tun Mahathir juga pernah menyatakan dengan jelas bahawa beliau akan menyerahkan jawatan Kepada Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam tempoh dua (2) tahun dan tidak lebih tiga (3) tahun.

Negara amat memerlukan Dato' Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-8 bagi melaksanakan agenda reformasi seterusnya membina semula negara.

Adakah Azmin cuba menjadikan Negarawan Malaysia Tun Dr.Mahathir Mohamad seorang Munafik? Adakah Azmin ingat Tun Dr.Mahathir akan mengikut kata-katanya dan merosakkan legasi gemilang Tun M yang Tun M cuba bina semula selepas berjaya menumbangkan kerajaan Kleptokrat Barisan Nasional hanya untuk memenuhi keinginan peribadi beliau?

Saya ingin menasihatkan Azmin agar menjalankan tugas beliau sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi selagi beliau masih memegang jawatan berkenaan ketika ekonomi negara masih terumbang ambing. Berhenti menjadi Menteri Pengiring kepada Perdana Menteri dan cuba menjadikan Pakatan Harapan sebuah kerajaan yang tidak menepati janji.

*Razeef Rakimin*
Setiausaha
Pemuda Pakatan Harapan Sabah
_merangkap_
Ketua Penerangan
Angkatan Muda Keadilan Sabah

No comments: