Monday, September 16, 2019

KALAU AZMIN MASUK BERSATU, ADAKAH BELIAU BAKAL DIJADIKAN TPM KEPADA ANWAR?




Tun Mahathir Mohamad seperti sedang membuka laluan untuk Azmin Ali menyertai Bersatu apabila mengatakan akan menimbangnya jika Timbalan Presiden PKR itu sedia berbuat demikian.

“Dia tak ada buat permohonan, kalau dia buat permohonan, kita akan timbanglah,” kata Pengerusi Bersatu berhubung desas-desus Azmin akan melompat menyertai Bersatu.

Kenyataan ini memberi gambaran seolah-olah Tun Mahathir memang memerlukan Azmin dalam partinya.

Jika beliau tidak memerlukan Azmin, Tun Mahathir boleh saja menolak ura-ura kemasukannya yang menjadi perbualan ramai itu, tambahan lagi Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu adalah pemimpin nombor dua dalam PKR ketika ini.

Dari segi logiknya, sebagai sesama parti dalam gabungan PH, adalah tidak manis untuk Tun Mahathit menerima kemasukan pemimpin daripada PKR untuk menyertai Bersatu.

Tetapi, kerana barangkali terlalu sayangkan Azmin atau beliau dilihat merupakan aset yang tak ternilai tinggi harganya, walaupun Ahli Parlimen Gombak itu ketika ini sedang disiasat dalam kes video Haziq, Tun Mahathir nampaknya cuba mengabaikan amalan yang tidak manis dan tidak digalakkan itu.

Kenapa Azmin nampak seperti begitu diperlukan oleh Tun Mahathir dalam Bersatu?

Secara kasarnya, tindakan Tun Mahathir ini mungkin kerana beliau nenyedari kedudukan Azmin semakin tidak diperlukan, malah tidak selamat lagi dalam PKR pada waktu ini.

Kelakuan Azmin sejak PH menjadi kerajaan yang seolah-olah sudah lupa diri, terlalu berkiblatkan kepada Tun Mahathir dan tidak lagi menghormati Anwar Ibrahim selaku Presiden PKR, mungkin antara sebab mengapa kedudukannya yang terancam itu.

Dalam waktu yang sama, kelakuan itu dikaitkan pula dengan kononnya Azmin lebih merupakan pilihan di hati Tun Mahathir untuk menggantikannya, meskipun perjanjian dan konsensus telah dimuafakati calon Perdana Menteri ke-8 adalah Anwar.

Dalam keadaan terancam itu, kalau pun Azmin selepas ini lebih kerap hadir mesyuarat PKR dan menunjukkan keakurannya kepada kedudukan Anwar, masa depannya tidak lagi seratus peratus terjamin dalam pemilihan PKR yang akan datang.

Beliau mungkin akan dilawan dan berkemungkinan akan kalah, terutama jika ketika itu Anwar sudah menjadi Perdana Menteri.

Dengan hilang jawatan Timbalan Presiden PKR, jawatannya dalam kerajaan juga bakal melayang selepas itu. Tun Mahathir pun sukar menyelamatkan Azmin jika beliau tiada jawatan dalam parti.

Jadi, satu-satu jalan untuk menjadikan masa depannya cerah ialah dengan menyertai Bersatu dan memegang jawatan yang tinggi dalam parti itu.

Apa jawatan yang Azmin bakal perolehi dalam Bersatu?

Oleh kerana pemilihan pucuk pimpinan Bersatu akan diadakan tahun depan, pelbagai kemungkinan nampaknya terbentang buat Azmin.

Ada yang mengatakan beliau bakal mengisi  salah satu tempat Naib Presiden Bersatu dan ada pula yang yang menyebutnya sebagai bakal Presiden Bersatu menggantikan Muhyiddin Yassin.

Dikhabarkan, oleh kerana Muhyiddin masih tidak berapa  sihat dan kerana itu tidak begitu menyerlah sebagai Presiden Bersatu, tempatnya dikatakan akan digantikan oleh Azmin.

Tambahan lagi, kalau sudah begitu kehendak hati Tun Mahathir, siapa dalam Bersatu yang berani membantahnya?

Sebagai imbalan  tidak  mempertahankan jawatan itu, Muhyiddin diberitakan telah dijanjikan  jawatan Yang Dipertuan Negeri Melaka untuknya.

Tun Mahathir dikatakan berasa tidak selesa jika jawatan Presiden yang dikosongkan Muhyiddin itu digantikan oleh anaknya, Mukhriz yang kini memegang jawatan Timbalan Presiden kerana ia akan menjadikan Bersatu seperti parti nepotisme dan parti anak-beranak.

Untuk mengelakkan tanggapan itu, maka Azmin diperlukan untuk mengisi jawatan Presiden yang akan dikosongkan oleh Muhyiddin, manakala Mukhriz akan terus kekal sebagai Timbalan Presiden.

Bermakna, jika segala-galanya menjadi kenyataan, susunan kepimpinan Bersatu selepas ini ialah Tun Mahathir  sebagai Pengerusi, Azmin sebagai Presiden dan Mukhriz sebagai Timbalan Presiden.

Oleh kerana jawatan Perdana Menteri sudah dijanjikan kepada Anwar dan sukar jika Tun Mahathir tidak menunaikannya kerana telah diikat oleh keputusan Majlis Presiden PH berkenaan dengannya, kemasukan Azmin ke dalam Bersatu dan dibentangkan permaidani merah untuk menjadi Presiden parti itu, ia dengan sendirinya menjadikan masa depannya dapat dicerahkan semula.

Azmin selepas itu mungkin  akan dijadikan Timbalan Perdana Menteri untuk digandingkan dengan Anwar menerajui negara ini.

Iyalah...selepas ketiadaan Muhyiddin, siapa lagi yang ada dalam PH untuk digandingkan dengan Anwar?

Dengan kedudukan Azmin sebegai Presiden Bersatu dan Tun Mahathir masih Pengerusi PH, semua ini tidak mustahil dirancang dan dijadikan kenyataan, apa lagi Tun Mahathir memang pakar dalam menonjol dan menaikkan mana-mana pemimpin yang dikehendakinya.

Bagaimanapun, pokok yang terpenting sekali untuk segala-galanya berkaitan Azmin ini menjadi kenyataan dan mudah tentunya jika Tun Mahathir terus panjang umur untuk beberapa tahun lagi. (Shahbudindotcom 16/09/2019)

No comments:

Blog Archive

My Blog List

Followers