NARATIF ISLAM TERANCAM SATU PERMAINAN POLITIK?



Artikel l 22 Ogos 2019

Isu Islam terancam dan dihina sentiasa terapung-apung dalam negara kita. Kadangkala tenggelam sebentar kemudian timbul semula. Ada kalanya sejuk dan tiba-tiba pula boleh panas.

Ikutkan hati, malas saya hendak layan. Hanya kerana beberapa insiden kecil tetapi riuh sekampung Islam terancam.

Apakah lesu sangat orang Islam dan pegangan akidah sehingga terancam dan tidak boleh membela Islam? Apakah lemah sangat institusi Islam sehingga Islam dihina dan diserang di mana-mana? Apakah kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) sekarang menolak Islam sebagai agama persekutuan, menolak perpaduan ummah dan menjatuhkan martabat dan institusi Islam?

Jawapannya tidak. Persoalannya, benarkah Islam terancam, dihina dan diserang? Atau adakah ia senjata politik untuk menarik sokongan dan memburukkan lawan?

Hakikatnya, ia hanya persepsi yang sengaja diwujudkan untuk memainkan sentimen agar imej kerajaan persekutuan buruk. Begitu kata Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Nik Omar Nik Abdul Aziz seperti dilaporkan media pada 20 Mei lalu.

Isu berkenaan juga, katanya, sengaja dibesar-besarkan untuk menarik sokongan rakyat kepada pihak pengkritik dan menampakkan mereka sebagai parti yang kuat. Seolah-olah hanya merekalah pejuang Islam dan perpaduan ummah.

Ia lebih kepada soal survival politik pembangkang yang memerlukan isu “bogey” atau isu hantu polong.

Tidak salah untuk bersuara dan memberi pandangan. Tidak salah untuk menegur dengan membina. Tidak salah untuk menyampaikan ajaran Islam malah dituntut. Tidak salah untuk berwaspada.  

Yang salah ialah mengadakan benda yang tiada dan lebih buruk lagi apabila merumuskan pendirian atas benda yang tiada itu serta menggelapkan atau mengelirukan masyarakat akan maklumat sebenar. Tambah malang apabila emosi dan perasaan dimainkan semata-mata untuk menagih sokongan. Soal benar atau tidak, betul atau salah tidak penting lagi.

Saya sedar situasi ini juga kadang-kadang berkait dengan aduan yang dibuat oleh kumpulan bukan melayu seperti isu tulisan jawi. Mereka juga terkait dengan emosi dan perasaan walhal isunya boleh dibawa ke meja rundingan.

Cuba teliti beberapa fakta berikut yang saya petik daripada Facebook dan pembacaan saya. Saya juga ulas untuk memudahkan penilaian dilakukan dan menangkis hantu polong.

Pertama, Islam ialah agama Persekutuan dalam Perlembagaan Persekutuan. Maksudnya, Islam sebagai agama Persekutuan dalam konteks pentadbiran dan struktur kenegaraan. Islam mempunyai kelebihan berbanding dengan agama lain yang mana kerajaan boleh membiayai perbelanjaan untuk institusi-institusi berkaitan dengan agama Islam. Kerajaan sekarang yang dianggotai parti-parti komponen KEADILAN, DAP, BERSATU dan AMANAH berpegang kepada ini.

Kedua, Islam diberikan tempat yang agak tinggi di setiap negeri di Malaysia kerana pentadbiran agama Islam terletak dalam bidang kuasa negeri. Setiap negeri ada ketua agama berautoriti yang diberi kuasa oleh Perlembagaan Persekutuan, iaitu raja-raja Melayu atau Yang DiPertuan Agong bagi negeri yang tiada beraja.

Ketiga, setiap negeri ada mufti kerajaan yang dilantik dengan peruntukan gaji yang lumayan. Seramai 14 orang mufti untuk 14 buah negeri. Dalam keadaan di seluruh negara umat Islam lain hanya ada seorang mufti sahaja. Ada mufti yang tidak dibayar gaji oleh kerajaan seperti Mufti Kemboja, Mufti Singapura, Mufti Uganda dan banyak lagi. Mereka hidup dengan ehsan sumbangan umat Islam.

Ke-empat, di Persekutuan ada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan di setiap negeri ada Jabatan Agama Islam dan Majlis Agama Islam yang menguruskan hal ehwal pentadbiran umat Islam dengan bajet kerajaan yang memakan berbilion RM setahun. Sejak kerajaan baharu, bajet dinaikkan kepada RM1.2 bilion untuk tahun 2019 dan bajet tambahan diberi kepada Institusi Tahfiz sebanyak RM50 juta serta Institusi Pondok sebanyak RM25 juta.

Ke-lima, di Malaysia terdapat ribuan buah masjid besar yang dibina oleh kerajaan. Di negara seperti Thailand, Kemboja, Vietnam dan Singapura, adakah umat Islam di sana mendapat bantuan kerajaan untuk bina masjid?

Di sepanjang jalan dan lebuh raya di Malaysia didirikan surau atau tempat khas untuk orang Islam menunaikan solat. Di kebanyakan taman perumahan terdapat lot untuk surau.

Justeru, di mana masalah sebenarnya sehingga timbul fenomena Islam terancam ini?

Saya pernah menulis berkaitan naratif melayu Islam lebih tiga tahun lalu. Dengan rendah diri, saya menyatakan bahawa terdapat beberapa pendekatan yang boleh diambil untuk menangkis tanggapan Islam terancam atau apa juga serangan yang sewaktu dengannya.

Pertama, sebagai kerajaan. Kedua, sebagai pertubuhan atau kumpulan dan ketiga, sebagai individu.

Sebagai kerajaan, memastikan pengajaran dan penyebaran Islam yang sebenar di samping memastikan Islam terbela dan dimartabatkan.

Ini antaranya membawa naratif Rahmatan lil ‘Alamin, mereformasi institusi dan agensi agama, mengadakan muzakarah ulama dan cendekiawan, memanfaatkan media massa, memakmurkan masjid dan surau, termasuklah melaksanakan aspek amalan tadbir urus terbaik serta memulih institusi umat Islam seperti Tabung Haji. Perkara ini ada dijelaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof pada Mei lalu.

Sebagai pertubuhan atau kumpulan terutamanya yang berlatarbelakang Islam, amat penting untuk pertubuhan juga meneguhkan pegangan Islam di kalangan umat Islam melalui program-program yang sesuai sama ada program agama, kebajikan, kesukarelawanan atau kemanusiaan. Ini juga wajar membina kefahaman dan keperibadian muslim yang seimbang.

Teras maruah, martabat dan kekuatan orang melayu ialah pegangan kepada Islam itu sendiri. Selagi berpaksi kepada Islam sebagai Rahmatan lil ‘Alamin dan kehidupan maka selagi itulah orang Melayu dihormati dan dipercayai malah disegani bukan sahaja oleh orang melayu tetapi oleh semua kaum.

Sebagai individu, masing-masing umat Islam wajib melengkapkan diri dengan ilmu Islam yang sebenar. Sentiasa berpegang teguh kepada ajaran agama dan mengamalkannya. Sentiasa berfikiran terbuka dan bijaksana dalam penilaian dan tindakan. Tidak mudah terpedaya dengan sentimen dan emosi semata-mata. Jadikan diri sebagai sebahagian daripada penyelesai masalah bukan pembawa masalah sahaja.

Pada akhirnya, pada pendapat saya, Islam tidak terancam di negara kita tetapi digunakan sebagai isu hantu polong untuk kepentingan politik. Jika pun ada isu, ianya bukan sama ada Islam terancam atau tidak tetapi sejauh manakah negara dan rakyat khususnya orang Melayu boleh meletakkan asas yang betul sebagai asas perpaduan, kemajuan dan kebaikan masa hadapannya.

Asas yang betul bukan kerana asas politik, perkauman atau bangsa. Asas yang betul ialah kerana keadilan, kebenaran dan kesejahteraan.

Saya berlapang dada menerima pandangan. Pendapat saya tidak semestinya betul tetapi saya percaya negara Malaysia yang kita cintai yang akan sambut kemerdekaan kali ke-62, boleh dibina semula dan maju ke hadapan dengan potensi yang besar tanpa dihambat perasaan terancam atau terkepung.

Syed Ibrahim Syed Noh
Ahli Parlimen Ledang
Anggota Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN

No comments: