WARGA NEGARA YANG TAK BERTANGGUNGJAWAB...




Apabila seorang ahli perniagaan di dalam tulisannya menulis dengan melampau apabila mendakwa "Askar hanya makan tidur", saya adalah di antara yang cepat membantah dan menyanggahnya melalui tulisan saya sebelum ini.  Bagi saya, beliau tidak mengetahui dan begitu jahil tentang fungsi ATM.

Sekiranya hanya dengan satu ayat sedemikian telah menyinggung perasaan kita selaku warga tentera dan pesara tentera, bagaimana pula jika hak kita diambil?  Bagaimana jika wang simpanan LTAT kita disalahgunakan?  Bagaimana jika tanah milik tentera dijual dan digadai sesuka hati?  Bagaimana jika pesawat perang yang canggih dan mahal sepatutnya kita miliki tetapi tidak kita miliki?  Duit hilang, pesawat tiada?  Apa perasaan kita?  

Berderet bekas tentera membuat laporan polis ke atas ahli perniagaan yang menulis secara melampau itu meskipun beliau telah menyedari kesalahannya dan telah memohon maaf.  Ada mana-mana pihak dari bekas tentera membuat laporan polis terhadap kehilangan hak-hak milik tentera yang saya sebutkan tadi?  Mengapa?  Adakah kerana pengkhianatan itu dibuat oleh pemimpin politik berbangsa Melayu maka kita biarkan saja?  Pernah raja kleptokrasi ini memohon maaf seperti ahli perniagaan tersebut? 

Itulah lemahnya kita menilai sesuatu isu dan kepentingan.  Kita lebih suka bermain dengan sentimen tanpa kita fikir yang mana satu lebih mudharat kepada kita.  Cukuplah sepanjang kita di dalam tentera otak kita sering dikawal, adakalanya dengan baik dan adakalanya tidak masuk akal.   Apabila telah bersara cubalah kita menggunakan otak kita dengan baik dan waras.  

WFAUZDIN NS

No comments: