UMNO MULA TERBELAH DUA?


Image result for nazri aziz kjImage result for nazri aziz kj




Kembalinya Zahid Hamidi daripada cuti dan memegang semula jawatan Presiden UMNO, disusuli kemudian dengan perlantikan Najib Razak sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat BN, ternyata bukanlah suatu berita gembira buat parti yang sudah menjadi pembangkang itu.

Bermula dengan Khairy Jamaluddin menzahirkan perasaan tidak setuju kerana tindakan Zahid Hamidi kembali daripada percutian itu tidak dirujuk kepada MT UMNO terlebih dahulu, beliau kini seolah-olah sudah mendapat rakan baru dalam tindakannya mengkritik parti.

Dalam mesyuarat UMNO Padang Rengas semalam, selain Khairy Jamaluddin atau KJ yang meluahkan perasaan bahawa tegurannya kepada parti adalah kerana sayangkan UMNO, Nazri Aziz seperti wataknya yang biasa, lebih “berbisa” lagi kata-katanya.

Beliau bukan saja mengkritik Zahid Hamidi agar tidak terus bertindak seperti pegawai kepada Najib, malah mempertikaikan perlantikan bekas Perdana Menteri itu sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat BN.

Kata beliau, Najib sebenarnya mahukan jawatan Pengerusi BN dengan harapan dapat kembali semula sebagai Perdana Menteri selepas PRU15 akan datang berdasarkan respon baik sokongan rakyat hasil kerjasama UMNO dengan Pas.

Beliau seterusnya menolak Najib mampu menyumbang kepada kemenangan BN lantaran program Bossku yang diadakan di seluruh negara dan mendapat sambutan ramai hanya program untuk budak-budak saja.

Sehubungan itu, Nazri mengatakan tidak wajar untuk Najib ada perasaan mahu kembali menjadi Perdana Menteri, sebaliknya peluang harus diberi kepada golongan muda untuk menerajui negara selepas ini.

Serentak dengan kritikannya itu, Nazri juga mencabar UMNO untuk memecatnya jika dirasakan tindakannya suatu kesalahan.
“Buanglah kalau berani. Dulu buang Muhyiddin dan Shafie Apdal, tengoklah apa jadi.

“Kalau nak tengok apa jadi seterusnya, buanglah saya dan KJ,” kata Nazri lagi.

Parti jadi berpecah dan berantakan ketika sedang berkuasa atau baru memegang kuasa mungkin boleh diterima sebagai sesuatu yang biasa, tetapi malang nampaknya bagi UMNO kerana ia semakin berpecah sejak ketiadaan kuasa.

Dalam minggu-minggu seterusnya di mana ketika ini adalah musim bahagian-bahagian UMNO mengadakan mesyuarat tahunan, Nazri dan KJ pasti akan terus menjadi tarikan untuk dijemput merasmikan mesyuarat bahagian-bahagian di seluruh negara.

Ini kerana tidak dinafikan ramai pemimpin bahagian yang sealiran pemikiran dengan mereka dalam soal bagaimana UMNO dan BN seharusnya diurus sejak kehilangan kuasanya.

Apakah dengan Nazri dan KJ menjadi semakin lantang mengkritik Zahid Hamidi dan Najib akan menjadikan UMNO terpecah dua?
Mahu tidak mahu, nampaknya ini adalah bibit-bibit yang bakal menyaksikan pemilihan UMNO pada 2021 akan datang lebih awal terasa panas dan bahangnya.

Kumpulan Zahid Hamidi/Najib yang dilihat terus menguasai UMNO, suatu gandingan yang sama seperti sebelum PRU14 lalu yang menyebabkan parti itu hilang kuasa dirasakan bakal berhadapan dengan golongan penentang yang kini sudah kelihatan diawali dengan penampilan Nazri dan KJ.

Siapakah lagi pemimpin UMNO yang bakal menyertai mereka?
Bagaimana pula dengan pendirian Mohammad Hassan, Timbalan Presiden UMNO yang sejak beliau
memangku jawatan Presiden UMNO telah mula berjaya memulihkan keyakinan ramai, tetapi sekarang kelihatan menyepi sejak Zahid Hamidi sudah kembali?
Image result for tok mat
Adakah Tok Mat juga akan turut menyertai geng Nazri dan KJ selepas ini?

 (Shahbudindotcom 15/07/2019)

No comments: