SAYA TIDAK PERTAHAN AZMIN, CUMA…..


Menjelasnya lebih lanjut tulisan di blognya yang seolah-olah mempertahankan Azmin Ali, Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad menafikan beliau bermaksud demikian.
“Saya bukan mempertahankan Azmin. Saya hanya berkata bahawa politik jenis kotor yang seumpama itu tidak akan dapat memerangkap saya menjadi sebahagian daripadanya.
“Jelas sekali, seseorang cuba untuk menggunakan saya bagi mencapai matlamat mereka.
“Ini bukan satu video yang biasa anda lihat sebelum ini, ini sengaja diwujudkan bagi mencapai matlamat jahat yang tertentu bagi menghalang seseorang daripada maju dalam politik.
“Ini telah dirancang dan saya tidak akan menjadi ejen untuk menjayakan rancangan itu,” kata Tun Mahathir menjelaskan pendiriannya.
Benarkah begitu?
Boleh diterima hujah-hujah beliau?
Meskipun Tun Mahathir mengatakan beliau tidak mempertahankan Azmin, yang menjadi kehairanan ramai ialah mengapa sekian ramai yang disiasat atas dakwaan menyebarkan video itu telah ditangkap serta direman?
Setiausaha Politik Anwar, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak serta beberapa yang ramai, termasuk Haziq Abdullah Abdul Aziz yang mengaku pelaku dalam video tersebut, adalah antara yang ditahan dan baru saja dibebaskan daripada tahanan reman oleh polis.
Namun, Azmin yang dipercayai ramai adalah pelaku dalam video yang disahkan tulen oleh pihak polis itu nampaknya langsung tidak diusik apa-apa setakat ini.
Mengapa beliau tidak ditahan seperti yang lain-lain?
Dalam hal ini, ramai yang keliru dan bertanya, sejak bila perlakuan seks sejenis bukan suatu kesalahan di negara ini?
Di mana kedaulatan undang-undang atau rule of law?
Dengan itu, kata mereka, mungkin benar Tun Mahathir tidak mempertahankan Azmin, tetapi beliau ternampak cuba melindunginya.
Lebih-lebih dengan pengakuan Azmin sendiri dalam ucapannya di majlis kesyukuran di kediaman Menteri Besar Selangor Ahad lalu apabila Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu turut menyebut bagaimana beliau dipanggil oleh Tun Mahathir pada Jumaat baru-baru ini dengan kata-kata agar terus menjalankan tugas seperti biasa demi agama dan negara.
Adakah itu bukan melindunginya?
Sebab itu, tidak menghairankan apabila Umi Hafilda Ali, adik Azmin sendiri yang diketahui sejak sekian lama merupakan pendokong Tun Mahathir kelihatan mula keliru serta serta tawar hati dengan sikap Perdana Menteri sekarang ini.
Ternyata sikap dan pendirian Tun Mahathir antara 1998 dengan sekarang dalam berhadapan isu yang sama sudah jauh berbeza.
Yang pasti, di usia 94 tahun dan bila-bila masa akan pergi mengadap Ilahi, dengan kuasa Perdana Menteri ada tangannya, Tun Mahathir tetaplah Tun Mahathir juga.
Meskipun beliau kerapkali menyebut pesanan ibunya agar berhenti makan sebelum kenyang, dalam bab kuasa ia jelas terkecuali dan laparnya adalah senantiasa. (Shahbudindotcom 24/07/2019)

No comments: