Laporan PAC sahkan Najib, kerajaan BN ‘rompak’ wang GST



Laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang dibentangkan di parlimen hari ini mengesahkan bahawa Najib Razak dan kerajaan yang lalu telah, secara asasnya, merompak RM19.4 bilion yang sepatutnya digunakan untuk pembayaran balik cukai GST.

Khususnya, laporan tersebut mengesahkan tiga kesalahan besar yang telah dilakukan oleh Najib dan kerajaan yang lalu.

(1) Adakah pembayaran balik GST dilambatkan kerana PRU14?

Pertama, siasatan PAC mengesahkan bahawa terdapat kekurangan terkumpul sebanyak RM19.4 bilion akibat daripada keengganan Kementerian Kewangan untuk meluluskan wang pembayaran balik GST yang dipohon oleh Jabatan Kastam.

Sepertimana yang tertera di dalam laporan PAC, pada tahun 2015 dan 2016, jumlah wang pembayaran balik yang dipohon oleh Jabatan Kastam ialah masing-masing sebanyak RM9.969 bilion dan RM20.764 bilion. Untuk kedua-dua tahun tersebut, kerajaan telah memenuhi permohonan Jabatan Kastam, di mana RM9.969 bilion and RM20.164 bilion telah diluluskan dan dipindah ke dalam Akaun Pembayaran Balik GST pada tahun 2015 dan 2016 masing-masing.

Tetapi, jurang yang besar mulai muncul pada tahun 2017 dan 2018. Pada tahun 2017, Jabatan Kastam telah memohon RM38 bilion untuk pembayaran balik GST tetapi hanya RM25.3 bilion sahaja yang telah diluluskan. Pada tahun 2018, jumlah yang dipohon sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ialah RM13.285 bilion tetapi hanya RM5.8 bilion sahaja yang telah diluluskan.

Adakah Najib dan kerajaan yang lama telah secara sengajanya melambat-lambatkan pembayaran balik GST pada tahun 2017 dan 2018 untuk membolehkan wang tersebut digunakan untuk PRU14?

Memang diketahui umum bahawa pada PRU14 yang lepas, Barisan Nasional (BN) telah banyak menyalahgunakan wang dan sumber kerajaan untuk tujuan politik. Sebagai contoh, Najib dan kerajaan yang lalu telah membayar RM30 juta kepada pekerja-pekerja DRB-Hicom pada April 2018 walaupun parlimen pada ketika itu telah dibubarkan.

Pelbagai lagi program dan projek yang bersifat pemberian (handout) telah diluluskan sebelum PRU14 untuk mempengaruhi pengundi. Perkara ini sudah pasti secara tidak langsung telah menyebabkan kerajaan tidak dapat menunaikan pembayaran balik GST.

(2) Menyalahi undang-undang kerana mengakaunkan wang daripada kutipan cukai GST secara terus ke dalam Kumpulan Wang Hasil Disatukan

Kedua, laporan PAC mengesahkan bahawa, menurut Seksyen 52(2) Akta GST 2014, wang yang dikutip daripada GST mesti diletakkan ke dalam Akaun Pembayaran Balik GST yang berfungsi sebagai sebuah akaun amanah. Najib dan kerajaan yang lalu tidak mematuhi peruntukan ini kerana wang yang dikutip daripada GST telah diakaunkan secara terus ke dalam Kumpulan Wang Hasil Disatukan.

Najib telah cuba mempertahankan tindakan ini dengan menggunakan Seksyen 54(5) Akta GST 2014, yang memberi kuasa kepada Menteri Kewangan untuk mengarahkan pemindahan wang daripada Akaun Pembayaran Balik GST ke dalam Kumpulan Wang Hasil Disatukan.

Justifikasi ini sememangnya tidak sah kerana wang yang dikutip daripada GST mesti dibayar ke dalam Akaun Pembayaran Balik GST terdahulu sebelum dipindahkan ke Kumpulan Wang Hasil Disatukan, bukannya secara terus ke dalam Kumpulan Wang Hasil Disatukan.

Di dalam laporan PAC, Peguam Negara turut menyatakan bahawa tindakan meletakkan wang GST secara terus ke dalam Kumpulan Wang Hasil Disatukan ini adalah bertentangan dengan Akta GST 2014 dan prinsip-prinsip asas keamanahan dari segi undang-undang dan perakaunan.

(3) Merompak dan menyalahgunakan wang pembayaran balik GST

Ketiga, laporan PAC mengesahkan bahawa yang untuk pembayaran balik GST telah digunakan untuk perbelanjaan kerajaan yang lain. Najib dan mantan ketua setiausaha Perbendaharaan, Irwan Serigar, mengaku kepada PAC bahawa jumlah pembayaran balik GST hanya akan ditetapkan setelah memenuhi keperluan aliran tunai untuk urusan perbelanjaan kerajaan.

Ini merupakan pengakuan jelas bahawa wang pembayaran balik GST telah dirompak kerana pada asasnya wang pembayar cukai telah ditahan dan diambil secara paksa.

Melalui kaedah ini, Najib dan kerajaan yang lalu telah berjaya memperolehi modal percuma tanpa faedah untuk kegunaan mereka. Pada masa yang sama, pembayar cukai terpaksa menanggung kesan tidak medapat pembayaran balik cukai GST.

Kesimpulannya, tindakan-tindakan Najib mencerminkan simptom seorang kleptokrat yang langsung tidak menghormati peruntukan undang-undang. Hasil siasatan PAC menunjukkan Najib telah melanggar amanah yang diberikan oleh para pembayar cukai dengan merompak dan menyalahgunakan wang pembayaran balik cukai GST.

Saya bersetuju dengan pandangan Peguam Negara bahawa isu ini terbuka kepada suatu penyiasatan jenayah, dan oleh itu saya menyeru agar pihak polis dan pihak-pihak berkuasa yang lain mengambil tindakan dengan segera. 

*Khoo Poay Tiong adalah Ahli Parlimen Kota Melaka

No comments: