Enam pengerusi MPN rayu perhatian lebih dari pimpinan pusat

Enam pemimpin tersebut yang membentuk satu gabungan dinamakan Majlis Pengerusi-Pengerusi Pimpinan Negeri KEADILAN membuat rayuan tersebut pada sidang media hari ini.
“Kita tahu masalah di bawah, masalah jurang pendapatan di bawah. Misalnya di Selangor, berbeza berbanding di Kelantan, Terengganu. Kita minta ada ruang diberikan secukupnya untuk kami suarakan.
“Ini masalah yang kami hadapi. Yang berhadapan dengan rakyat adalah kami, yang menerima aduan rakyat kami, adapun peringkat persekutuan rakyat tidak dapat berjumpa kerana jauh. Di Kelantan, Terengganu adalah kami.
“Bulan madu sudah berakhir. Tolonglah dengar suara kami kerana kami menghadapi rakyat setiap dan tahu mereka perlukan bantuan. Ini yang kami minta,” kata Pengerusi MPN Kedah, Johari Abdul yang bertindak sebagai penyelaras gabungan tersebut.
Justeru kata beliau, Majlis MPN ditubuhkan sebagai satu pasukan dalam menyampaikan suara lebih tegas berkaitan masalah peringkat akar umbi.
“Kita (peringkat negeri) rasakan kita tertinggal. Sebab itu kita buat majlis ini. Paling penting ialah rakyat. Suara kami perlu didengari dengan solid,” katanya.
Di samping mengumumkan pembentukan Majlis terbabit, satu ketetapan ditandatangani enam daripada mereka iaitu iaitu Johari Abdul (Kedah), Amran Kamarudin (Perlis), Halim Bachik (Melaka), Azan Ismail (Terengganu), Zahir Hassan (Wilayah Persekutuan), dan Mohamad Supardi Md Noor (Kelantan).
Sementara, lapan lagi daripada keseluruhan 14 Pengerusi MPN akan ditandatangani pada perjumpaan di Port Dickson bersama Presiden KEADILAN Anwar Ibrahim, petang ini.
Ketetapan yang dipersetujui ialah, sokongan penuh terhadap Presiden, menyokong usaha keras Presiden untuk membangunkan KEADILAN yang kuat dan dihormati dan berdiri teguh di belakang beliau dalam menghadapi apa jua cabaran dan dugaan jika ada usaha pihak yang mahu melemahkan parti.
Antara lain, termasuk komitmen tanpa belah bahagi terhadap Anwar dalam usaha memimpin negara ke tahap yang diharapkan rakyat dan bersama sama beliau dalam memastikan semua janji kepada rakyat terlaksana.

No comments: