SELAGI TUN M TIDAK TETAPKAN TARIKH BERUNDUR, SELAGI ITU PH AKAN BERGOLAK

Image result for anwar mahathir

Secara muktamad dan direkodkan dengan rasmi bahawa parti yang menang PRU14 lalu mengalahkan BN ialah PKR kerana ketika itu PH belum lagi diberi kelulusan pendaftarannya.
Semua calon yang mewakili PH, termasuk Tun Mahathir Mohamad yang bertanding di Langkawi adalah menggunakan simbol PKR untuk berlawan dengan dacing BN.
Sebelum itu, dalam usaha menjatuhkan Najib Razak dan menumbangkan BN, Tun Mahathir juga telah mengambil langkah drastik berbaik semula dengan Anwar Ibrahim dengan mengunjunginya di mahkamah setelah hampir 20 tahun bermusuhan, menggunakan pengaruh keluarga Presiden PKR itu, terutama Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Nurul Izzah, bersetuju dengan agenda reformasi serta akur, sekiranya PH menang, selepas dirinya menjadi Perdana Menteri, pengganti selepasnya ialah Presiden PKR itu.
Walaupun pengaruh Tun Mahathir tidak dinafikan dalam kejayaan menumbangkan BN, pengaruh Anwar dan kesediaannya untuk berbaik semula, memaafkan dan melupakan tragedi pahit masa silam dengan Tun Mahathir juga tidak boleh dinafikan.
Pendek kata, tanpa Tun Mahathir, tidak mungkin BN dapat dikalahkan, tetapi tanpa Anwar juga, mustahil PH mampu mencipta kejayaan.
Atas kesedaran itulah maka Tun Mahathir kemudiannya dengan sendirinya menetapkan tempoh dua tahun untuk menjadi Perdana Menteri bagi membolehkannya menyelesaikan urusan menyelamatkan negara dan memulihkan ekononi.
Terlihat ketika itu Tun Mahathir benar-benar seorang yang ikhlas terhadap Anwar.
Anwar dan semua pihak dalam PH secara umumnya menerima logik dua tahun itu, cuma yang menjadi masalah, dengan peredaran masa, Tun Mahathir sendiri kemudiannya mula berubah pendirian bersama sedapnya duduk di kerusi empuk Perdana Menteri buat kali kedua.
Kata-katanya daripada dua tahun berubah kepada mungkin dua tahun, mungkin lebih dan mungkin kurang, kemudian meminta ihsan Anwar untuk tempoh dua tahun setengah dan baru-baru ini pula Tun Mahathir sendiri mengatakan beliau memerlukan tiga tahun untuk memulihkan ekonomi.
Kenapa perlu berubah-ubah?
Di samping itu, beberapa petunjuk lain – antaranya membawa masuk pemimpin UMNO menyertai Bersatu dan sebagainya – jelas menampakkan Tun Mahathir seperti semakin mahu mengukuhkan lagi kedudukannya.
Sebagai Perdana Menteri sementara yang sebelum ini menyebut hanya mahu menjadi Perdana Menteri selama dua tahun, untuk apa lagi sebenarnya Tun Mahathir perlu mengukuhkan kedudukannya?
Semua pihak dalam PH, termasuk Anwar, bukan saja menghormati perjanjian meletakkan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri, walaupun Bersatu hanya menang 13 kerusi, bahkan juga tiada masalah menghormati tempoh dua tahun itu.
Logiknya, jika Tun Mahathir tetap berpegang kepada janji dan mahu PH terus utuh serta stabil, melepasi tempoh lebih setahun setelah beliau menjadi Perdana Menteri, langkah paling wajar diambilnya sekarang ialah segera menetapkan tarikh berundur untuk Anwar pula menggantikannya.
Menangguh-nangguh berbuat demikian, sambil orang-orang yang rapat dan bekerja dengannya siang malam berkempen menolak Anwar dan mengatakan Presiden PKR itu tidak layak menjadi Perdana Menteri, semua itu tidak lebih ibarat membunuh masa depan PH itu sendiri.
Tiada ada sebab untuk PH berpecah atau berantakan setelah berusah payah menumbangkan BN melainkan jika janji penyerahan jawatan kepada Anwar itu cuba dimungkiri.
Dengan pelbagai isu yang berlaku, sama ada yang dicipta sendiri oleh Tun Mahathir seperti perlantikan Azmin Ali sebagai menteri tanpa namanya dicadangkan oleh PKR dan melantik Latheefa Koya menerajui SPRM atau isu lain yang belum dikenalpasti siapa dalangnya seperti video seks sejenis yang didakwa melibatkan Azmin, semua ini akan terpadam dengan sendirinya andai Perdana Menteri segera menetapkan tarikh untuk berundur bagi Anwar menggantikannya.
Begitu juga dengan dakwaan mereka dalam Bersatu bahawa peralihan kuasa tiada dalam manifesto dan desakan untuk Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri sehingga tamat penggal, ia akan mati secara automatik jika ada tarikh berundur dapat ditetapkan.
Selagi Tun Mahathir tiada ketegasan serta suka melengah-lengahkan tempoh masa peralihan itu, selagi itulah pelbagai perkara lain akan timbul dan PH akan terus berkocak serta menjadi tidak stabil.
Ia dalam masa yang sama hanya memberi ruang terbuka kepada pembangkang memanipulasi keadaan bagi kepentingan mereka menghadapi PRU15 akan datang.
Dalam hal ini, Tun Mahathir harus melihat ke dalam dirinya sendiri serta mesti ikhlas dan insaf dianya sudah berusia 94 tahun sekarang, selain perlu sedar bagaimana susur-galur sebelum ini tentang jasa, sumbangan dan pemaafnya Anwar sehingga PH mampu menang dan beliau dapat menjadi Perdana Menteri semula buat kali kedua.
Harap-harap Tun Mahathir tidak lupa mengenai semua itu dan diharap juga kata-katanya bahawa Melayu mudah lupa itu tidak merujuk kepada sifat dan perangai dirinya sendiri. (Shahbudindotcom 20/06/2019)

No comments: