PERSOALAN POKOK – KENAPA AZMIN TIDAK BELA DIRINYA SEBAGAIMANA ANWAR DULU PERTAHAN DIRINYA?


Naib Presiden PKR, Tian Chua menggesa ahli dan pemimpin parti itu untuk berdiri teguh di belakang Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali yang kini didakwa terlibat dalam skandal seks sejenis melalui video yang telah tersebar luas.
Jelas Tian Chua, PKR kini perlu bersatu menghadapi unsur yang menurutnya cuba menjejaskan pemimpin parti dengan taktik sama yang pernah digunakan terhadap Presiden PKR Anwar Ibrahim pada 1998 dan 2013 dahulu.
“Kita perlu berdiri bersama, bukan hanya untuk menunjukkan sokongan atau simpati kepada Azmin tapi juga bagi menegaskan titik mula perjuangan reformasi parti, kita perlu kenang hari ketika Anwar menjadi mangsa politik longkang suatu ketika dahulu,” ujarnya lagi.
Tidak sekadar Tian Chua yang sekarang ini meminta pembelaan terhadap Azmin dilakukan sama seperti kepada Anwar dahulu, malah Azmin sendiri dalam perjumpaan dengan tenaga kerja parti seluruh negara baru-baru turut membangkitkan perkara yang sama.
Beliau dikatakan mengimbas bagaimana perjuangannya membela Anwar, bermula daripada detik dipecat sebagai TPM pada 1998 sehingga dalam dua kes liwat yang dihadapi oleh Presiden PKR itu.
Lantas, secara tidak langsung Azmin bukan saja mahu jasanya membela Anwar dihargai, malah seperti menuntut pembelaan kepada Anwar dahulu mesti dilakukan kepadanya sekarang ini.
Barangkali tiada yang salahnya untuk Azmin dan penyokongnya cuba mengungkit bagaimana mereka membela Anwar sebelum ini serta meminta perkara yang sama dilakukan sekarang, tetapi persoalan pokoknya ialah batang tubuh beliau selaku subjek yang terkait dengan skandal itu mestilah lebih dahulu dilihat melakukan perkara yang sama.
Cuba kita imbas kembali bagaimana Anwar sendiri berjuang membela dirinya serta melawan fitnah yang ditujukan terhadapnya, baik dalam kes liwat 1 mahu pun liwat 2.
Anwar bukan saja terus berjuang dan mempertahankan dirinya melalui ceramah, media, gerakan politik atau apa saja, malah beliau turut tidak gentar melakukannya melakui proses undang-undang iaitu mahkamah.
Bahkan ketika di dalam penjara pun, beliau tidak berhenti melawan.
Selain beliau dihadapkan dengan dua pertuduhan liwat – liwat 1 dibebaskan di peringkat Mahkamah Persekutuan dan liwat 2 diberi pengampunan penuh oleh Yang Dipertuan Agong – Anwar terbukti tidak pernah jemu melawan dan berjuang, bahkan beberapa pihak lain juga turut disaman kerana memfitnahnya.
Ia menunjukkan Anwar tidak gentar dalam mempertahankan dirinya.
Tetapi, bagaimanakah Azmin mempertahankan dirinya dalam skandal seks sejenis yang mengaitkan dirinya dengan Haziq Abdullah Abdul Aziz setakat ini?
Adakah sama bagaimana Azmin mempertahankan dirinya sebagaimana Anwar membela dirinya?
Maka, sebelum mahu menggesa Azmin dipertahankan sebagaimana Anwar dipertahankan sebelum ini, Timbalan Presiden PKR itu harus ditanya dahulu mengenai apa yang telah dilakukannya dalam membela dirinya?
Sudahkah beliau membuat laporan polis atau menyaman sesiapa?
Jika beliau sudah membela dirinya sendiri sepadan dengan bagaimana Anwar membela dirinya, mungkin baru sesuai untuk penyokongnya meminta pembelaan yang sama terhadap Azmin.
Jika tidak, janganlah salahkan sesiapa mengenainya. Salahkan diri sendiri terlebih dahulu. (Shahbudindotcom 26/06/2019)

No comments: