KALAU HAZIQ DIAMBIL TINDAKAN, LOGIKNYA AZMIN JUGA TIDAK BOLEH TERLEPAS


Seorang penasihat Azmin Ali di Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Khalid Jaafar – dulunya Setiausaha Akhbar Anwar Ibrahim – mengkritik PKR kerana tidak mengambil sebarang tindakan terhadap Haziq Abdullah Abdul Aziz.
Kata beliau, kegagalan bertindak itu mencemar nama PKR dalam kalangan orang Melayu dan Islam.
“Kealpaan ini akan dilihat sebagai kegagalan kepemimpinan dalam PKR, khususnya Anwar Ibrahim selaku Presidennya,” kata beliau.
Mengulas lanjut, kata Khalid lagi, Haziq harus diambil tindakan berdasarkan pengakuannya telah melakukan seks luar tabii.
“Bukan sahaja apa yang beliau lakukan itu dilihat amat jijik oleh masyarakat Melayu dan Islam, malah ia juga satu jenayah,” tegasnya lagi.
Dalam kes ini, apa yang Khalid patut faham ialah bukan PKR tidak mahu mengambil tindakan terhadap Haziq, tetapi parti mahu menunggu hasil siasatan pihak polis terlebih dahulu.
Jika Haziq saja diambil tindakan – digantung atau dipecat keahlian misalnya – sebagaimana kehendak Khalid, ia akan dilihat suatu tindakan yang tidak adil, walaupun beliau mengakui perbuatan seks luar tabiinya.
Ini kerana, sebagaimana yang kita fahami, hubungan seks, sama ada normal atau luar tabii, ia adalah hubungan yang melibatkan dua pihak.
Dalam kes pengakuan Haziq, sementara beliau mengakui dirinya melakukan seks sejenis itu, beliau juga tidak ragu-ragu menyebut pasangannya ialah Azmin.
Maka, jika tindakan mahu diambil, adilkah jika Haziq saja diambil tindakan oleh PKR?
Bagaimana dengan Azmin?
Untuk keadilan, jika mahu Haziq dikenakan tindakan, maka pasangannya juga harus diambil tindakan yang sama.
Kedua-duanya, berdasarkan pengakuan Haziq, adalah luar tabii dan melakukan jenayah.
Adilkah jika satu pihak saja dikenakan tindakan, manakala satu pihak lagi dilepaskan, walhal hubungan itu berlaku kerana ada saling bersetuju antara kedua-duanya?
Sebab itu, keputusan Anwar untuk menunggu hasil siasatan polis terlebih dulu sebelum mengambil sebarang tindakan adalah langkah yang wajar dan tepat.
Kalau berdasarkan hasil siasatan polis nanti mendapati video itu sah tulen dan pelaku seks luar tabii itu juga sah Haziq dan Azmin, sudah tentu kedua-duanya akan diambil tindakan yang sewajarnya.
Pokoknya, khusus untuk Khalid, sabar-sabar dululah. (Shahbudindotcom 18/06/2019)

No comments: