SAMA SEPERTI NAJIB DULU, SUDAH ADA YANG TUTUP SIARAN BILA TUN M MUNCUL DI TV….





Sejak dua hari lalu saya berada di Terengganu bersama beberapa rakan yang kebanyakannnya berasal dari Kelantan.
Sehingga urusan ini selesai, saya dijangka berada di negeri ini sampai hari Ahad nanti.
Daripada perbualan mengenai pelbagai isu dengan beberapa kelompok penduduk negeri Terengganu yang ditemui, isu mengenai politik tentunya tidak pernah diketepikan.
Tetapi, yang paling menarik ialah apabila berbual-bual dengan mereka mengenai Tun Mahathir Mohamad.
Walaupun beliau kini adalah Perdana Menteri dan sebelum ini pernah dijulang kerana aura dan pengharapan yang tinggi daripada rakyat terhadapnya dalam menumbangkan Najib Razak, UMNO dan BN, yang nyata kini semua itu sudah pun mulai menurun di mata rakyat.
Ramai yang ditemui kini mulai kecewa dengan kerajaan PH dan Tun Mahathir kerana dianggap gagal menunaikan janji-janji manifesto dan memberikan ruang kehidupan yang lebih baik sebagaimana yang pernah dijanjikan sebelumnya.
Mereka mengeluh kerajaan yang ada sekarang lebih buruk berbanding BN dahulu.
Lantaran itu, selain seperti biasa, ramai yang meluahkan kekecewaan mereka ketika berbual sesama sendiri, ada sebahagiannya yang mula menunjukkan protes dengan menutup atau mengalih siaran televisyen apabila wajah Tun Mahathir muncul di udara, terutama dalam siaran berita.
Kata beberapa yang mengakui sudah dua tiga bulan berbuat demikian, mereka juga tidak percaya lagi kepada kata-kata Tun Mahathir sekarang ini.
“Kami benci dan semakin sakit hati setiap kali menonton wajahnya di televisyen,” kata antara mereka.
Mereka seterusnya menyebut, ramai kenalan atau rakan sekampung mereka yang turut berbuat hal yang sama sebagai lontaran meluahkan rasa kecewa terhadap kerajaan.
Begitu juga, kata mereka dengan beberapa menteri baru yang entah apa-apa cakapnya, lebih baik mereka menutup saja televiseyen daripada mendengar apa yang diperkatakannya.
“Lagi kami mendengar cakap menteri-menteri ini, lagi kami sakit hati dibuatnya,” tambah mereka lagi.
Jika kita masih ingat, sebelum PRU14 lalu, fenomena rakyat menutup siaran televisyen setiap kali Najib muncul di udara adalah perkara yang biasa di mana-mana ketika itu.
Blog ini malah pernah menulis mengenai ibu bapa seorang bekas Ahli MT UMNO sendiri yang berbuat demikian lantaran terlalu benci terhadap bekas Perdana Menteri itu yang ketika itu terkait dengan pelbagai isu seperti 1MDB dan sebagainya, tetapi masih bercakap dengan nada seolah-olah tidak menyedari kekecewaan rakyat terhadap kepimpinannya.
Nampaknya kini, apa yang pernah dialami oleh Najib dahulu sudah pun berpindah kepada Tun Mahathir pula.
Tidak keterlaluan kalau dikatakan di mana-mana pun sekarang ini mereka yang mula menjauhi Tun Mahathir semakin besar jumlahnya, bahkan mereka yang menutup siaran televisyen setiap kali wajahnya ke udara turut berlaku di banyak tempat lain dan tidak terhad di Terengganu ini saja.
Semuanya tidak lain kerana kerajaan ini, terutamanya Tun Mahathir sendiri, mula bercakap dengan nada lain berbanding ketika sebelum memperolehi kuasa dahulu.
Sedarkah PH kini bahaya yang bakal menimpa mereka melalui fenomena penolakan rakyat yang  mula menutup atau menukar setiap kali Tun Mahathir muncul di televisyen? (Shahbudindotcom 22/03/2019)

No comments: