KEFAHAMAN DEMOKRASI DIPUTARBELIT OLEH PEMBANGKANG





POLITIK LALI DAN CANGGUN PH MENGHIDUPKAN TAPAK UMNO-PAS UNTUK MENAPAK



Apa yang nyata Pakatan Harapan (PH) telah gagal untuk melenyapkan pengaruh United Malays National Organization (UMNO) dalam konteks persekitaran politik Malaysia amnya dan politik Melayu khususnya, tambahan pula dengan sokongan serta dokongan Parti Islam Se Malaysia (PAS), hakikatnya UMNO akan terus mengepak untuk mencabar PH. Politik lestari dan anggun yang diperkenalkan PH serta menjadi amalan PH, bagi menunjukkan komitmen terhadap falsafah, pemikiran serta prinsip demokrasi, akan membuka ruang yang amat selesa untuk UMNO menyambung talian hayatnya, seterusnya meneruskan kelangsungan hidupnya.
Hakikatnya berdasarkan keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih, pemikiran pengundi Melayu nampaknya masih terikat kuat dengan anggapan bahawa UMNO merupakan “pembela” Melayu dan PH dianggap sebagai parti yang tidak cakna kepada Melayu dan Islam.
Persepsi dalam kalangan masyarakat Melayu ini, khususnya dalam kelompok perkampungan tradisi, berlegar di sekitar andaian bahawa masyarakat Melayu sedang terancam, kepentingan Melayu tidak terbela, hak orang Melayu sudah tidak lagi dipertahankan, agama Islam telah diliberalkan dan Islam telah dihina oleh bukan Islam.
Inilah hakikat yang tertanam dalam minda masyarakat Melayu, terutamanya dalam kalangan masyarakat Melayu yang terpedaya dengan sumber maklumat yang disebarkan oleh pihak yang berkepentingan daripada PAS dan UMNO.
Ini bermakna selagi wujudnya sentimen kemelayuan secara “intaian dalaman” dan politik kepertuanan Melayu-Islam, maka selagi itulah PH akan gagal untuk menerobos serta menakluk pemikiran pengundi Melayu untuk memberikan sokongan kepada PH, khususnya di kawasan-kawasan luar bandar dan perkampungan tradisi Melayu yang menjadi pusat paksi kepada undi Melayu.
Keadaan ini tentunya akan memberikan kelebihan kepada PAS dan UMNO untuk membentuk kecenderungan pengundi Melayu-Islam bagi memihak kepada kedua-dua parti tersebut.
Sungguh pun begitu, terdapat unsur yang memungkinkan juga akan wujudnya pertarungan antara PAS dan UMNO untuk bersaing bagi mendapat undi dalam kalangan masyarakat Melayu luar bandar ini, memandangkan kedua-dua parti ini mempunyai kumpulan sasar yang sama iaitu Melayu-Islam.
PAS dan UMNO berkemungkinan boleh mencanangkan kerjasama serta sokongan antara satu sama lain dalam PRK, namun potensi konflik amat besar untuk berlaku dalam konteks penentuan kerusi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) di antara PAS dan UMNO, sebagaimana yang dilakukan oleh PAS sewaktu berada dalam Pakatan Rakyat (PR), khususnya sewaktu berlangsungnya PRU 13.
Sebelum itu sejarah juga telah mencatatkan akan hakikat berlakunya konflik di antara PAS dan UMNO sehingga membawa kepada penyingkiran PAS daripada Barisan Nasional, 1978. Berpunca daripada konflik kepentingan dalam usaha kedua-dua parti tersebut, PAS dan UMNO meluaskan pengaruh masing-masing di kawasan-kawasan lingkaran pengaruh Melayu, khususnya dikawasan FELDA.
Berdasarkan hakikat ini, dalam usaha untuk membina persekitaran politik baru, PH yang berkecenderungan membina persekitaran politik berteraskan keutuhan prinsip demokrasi, menjunjung kebebasan bersuara serta bertindak dan berhimpun, memancarkan tindakan politik berdasarkan persekitaran politik lestari dan anggun, hakikatnya mengundang cabaran dan kesukaran yang tersendiri terhadap usaha memperkasakan PH.
Keadaan ini akan menjadikan setiap gerak langkah politik PH menjadi lali dan canggun, khususnya sepanjang isu yang berkaitan dengan tindakan politik serta proses politik yang sepatutnya dilakukan, bagi berhadapan dengan isu-isu dan tindakan-tindakan politik yang dibangkitkan oleh PAS dan UMNO serta dakyah politik berkaitan dengan ancaman terhadap kepentingan Melayu dan Islam yang disebarkan oleh UMNO dan PAS.
PH telah gagal untuk bertindak secara konstruktif dalam menangani tindakan politik serta pemalsuan isu politik yang dibangkitkan oleh PAS dan UMNO, terutamanya sepanjang yang berkait dengan penyebaran maklumat yang bersifat manipulatif untuk membangkitkan unsur-unsur perkauman dan keagamaan bagi memesong serta mengkerdilkan pemikiran masyarakat Melayu khususnya.
Apa yang nyata, kebanyakan sebaran maklumat yang ditaburkan oleh PAS dan UMNO tidak diasaskan kepada data dan fakta yang tepat, sebaliknya lebih kepada aspek pemasungan minda dalam kalangan masyarkat, khususnya masyarakat Melayu. PAS dan UMNO bergabung menyebarkan kefahaman yang salah dalam mentafsirkan langkah tindakan yang diambil oleh pihak PH dalam mengemudi dasar-dasar pembangunan kerajaan.
Antara contoh yang nyata dakyah negatif yang disebarkan oleh PAS dan UMNO adalah bersabit dengan isu penghapusan tol lebuh raya, disebarkan bahawa PH telah gagal memenuhi janji dalam isu penghapusan tol tersebut, wal hal, apa yang di sebut di dalam manifesto PH dalam PRU 14 adalah;
“Kerajaan Pakatan Harapan akan mengkaji semula semua perjanjian konsesi lebuh raya. Kami akan berunding untuk mendapatkan harga yang terbaik untuk mengambil alih setiap konsesi tol dengan matlamat akhir untuk menghapuskan kutipan tol secara berperingkat. Kami percaya bahawa penyediaan infrastruktur asas seperti jalanraya dan lebuhraya adalah tanggungjawab kerajaan untuk rakyat.”
Apa yang ditegaskan adalah mengkaji semula akan perjanjian konsesi lebuh raya dengan matlamat akhir untuk menghapuskan kutipan tol secara berberingkat, bukannya dilakukan secara serta merta, bahkan isu penghapusan kutipan tol ini juga tidak ada dalam janji 100 hari PH.
Ini bermakna dalam tindakan politiknya PAS dan UMNO secara sedar cuba membentuk minda rendah dalam kalangan masyarakat Melayu, kerana dianggap sebagai satu aset kepada mereka. Bukankah kerajaan yang didokong oleh PH telah pun memulakan langkah perundingan tersebut? Bermakna semakin rendah daya fikir masyarakat Melayu, maka semakin besar peluang untuk UMNO dan PAS meneruskan kemaraan politik mereka.
Dalam PRK Semenyih umpamanya disebar dan ceramahkan bahawa PH akan bertindak untuk menutup pusat-pusat dan sekolah-sekolah tahfiz, melantik orang Cina dalam mengendali pengurusan Tabung Haji dan kuasa orang Melayu yang semakin lemah. Isu-isu ini sebenarnya telah gagal ditangani dengan berkesan oleh PH, mengakibatkan wujudnya tahap kecurigaan yang tinggi terhadap kewibawaan PH dalam mengurus kepentimgan masyarakat Melayu dan Islam.
Di sinilah yang dikatakan lali dan canggunnya PH dalam berhadapan dengan serangan PAS dan UMNO.
PH hakikatnya gagal untuk memahami dan menghayati akan falsafah serta strategi perang, khususnya dalam konteks mengendali kemenangan selepas Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU 14). Ruang-ruang telah dibuka sebegitu luas untuk membolehkan musuh politik kembali beraksi, atas sikap dan pendirian “menghormati” prinsip demokrasi.
Wal hal pada waktu yang sama PH masih belum berkeupayaan untuk memantap dan menstabilkan cengkaman kuasa dalam mengendalikan pemerintahan negara, memandangkan struktur, mekanisme serta jentera pentadbiran negara masih terperangkap dalam kerangka pemikiran “order lama,” masih terikut dengan perangai peninggalan Barisan Nasional (BN), hakikat ini agak sukar untuk dipecahkan, memandangkan pengalaman peralihan kuasa hanya baru berlaku buat pertama kali, dalam tempoh masa 60 tahun merdeka.
Politik adalah satu peperangan dalam bentuk yang lain, sebagaimana yang digambarkan oleh Carl Von Clausewitz dalam “On War,” manakala Sun Tzu mengungkapkan bahawa, “…dalam sesuatu medan pertempuran, kemenangan hanya boleh diperolehi apabila musuh berjaya dilemahkan sehingga menjadi abu, jangan biarkan musuh bangkit kembali kerana dengan kebangkitan itu musuh akan kembali menentang dan memusnah kekuatan anda.” inilah apa yang sepatutunya dilakukan oleh para strategis PH dalam menangani dan mengurus situasi politik selepas kemenangan dalam PRU 14 lalu.
Pemikiran strategis Carl Von Clausewitz dan Sun Tzu ini secara amnya telah gagal dilaksanakan secara berkesan oleh para pemikir strategis PH, sehingga menyebabkan wujudnya ruang-ruang terbuka untuk pihak-pihak yang bersaing menyanggah segala tindakan yang diambil oleh PH. PH sepatutnya boleh bertindak balas terhadap saingan poilitik, dengan memahami pemikiran yang dilontarkan oleh kedua-dua pemikir strategi perang ini.
Namun demikian dapat dijangkakan bahawa ini bukan gaya politik PH, dalam perkiraan PH, musuh perlu hidup kerana itulah demokrasi, politik demokrasi perlukan pesaing politik yang kuat. Sungguhpun pada masa yang sama, PH masih gagal dalam membentuk serta membina kestabilan kedudukannya dalam segala aspek, sama ada dalam pelaksanaan dasar-dasar kerajaan, memenuhi tuntutan manifesto PRU dan juga membina perseimbangan kepercayaan dan keyakinan antara kaum, khususnya untuk mengikat keyakinan dalam kalangan msyarakat Melayu terhadap PH.
PH dalam realiti ini sememngnya berada dalam keadaan yang amat tempang, tindakan PH yang gagal bertindak secara strategis, sebenarnya memberikan peluang dan ruang secukupnya kepada musuh politik PH, UMNO dan PAS untuk terus bangkit mencabar PH.
UMNO dan PAS ternyata mempunyai peluang yang terbuka untuk mengeksploitasi sentimen kemelayuan disebabkan imaginasi masyarakat Melayu yang begitu kuat akan akar sentimen ketuanan Melayu serta kesucian Islam, bagi masayarakat Melayu kesucian Islam itu adalah apa yang ditafsirkan oleh mereka yang bergelar ulama Melayu, berteraskan kandungan kitab kuning. Apa pun yang dilontarkan oleh Yusuf al-Qaradhawi atau pun Rasyid al-Ghanusi umpamanya, bukan aliran Islam yang perlu diikuti.
Gambarannya, bagi masyarakat Melayu kesucian Islam itu hanya boleh dijaga oleh Melayu yang berkampung di dalam PAS sahaja, Melayu di luar PAS adalah Melayu liberal, Melayu yang tidak masak akan kefahaman Islam mereka. Realiti inilah satu hakikat yang gagal ditangani secara berkesan oleh pimpinan PH. Dalam situasi inilah juga UMNO dan PAS agak mudah untuk mengembangkan pengaruh serta fahaman politik mereka dan kembali bertapak dalam kalangan pengundi Melayu. Berdasarkan realiti inilah juga PH akan bertarung dalam PRK Rantau pada 13 April 2019 nanti.
DR. KAMARUDIN MUSA
Fakulti Pengurusan dan Ekonomi

No comments: