Thursday, January 10, 2019

ZAHID HAMIDI TAK BERFUNGSI, NAJIB SEPATUTNYA AMBIL ALIH JAWATAN KETUA PEMBANGKANG



Sama ada suka atau tidak, kita harus mengakui Najib Razak ketika ini bukan saja paling aktif bersuara di media sosial, tetapi juga rajin turun padang dalam isu-isu tertentu yang melibatkan kepentingan rakyat.

Dalam media sosial, hampir semua isu disentuh serta dikritiknya dan beliau selalunya akan membandingkan apa yang berlaku sekarang dengan ketika era pentadbiran BN dahulu.

Kerapkali kali juga beliau bersikap sinis dan menyindir, terutama berhubung pendekatan kerajaan yang disifatkannya sekadar “copy paste” daripada pendekatan yang pernah dilakukannya ketika beliau menjadi Perdana Menteri sebelum ini atau lebih mendatangkan kesusahan kepada rakyat.

Baru-baru ini, susulan penurunan harga minyak, bekas Perdana Menteri itu telah turun ke Pasar Keramat untuk meninjau keadaan harga barang-barang dan kemudian beliau juga pergi ke sekitar kawasan Masjid Jamek untuk melihat pembangunan projek "River of Life" yang merupakan tarikan baru untuk pelancong di Kuala Lumpur.

Kedua-dua tindakannya turun padang itu akhirnya menyebabkan pihak kerajaan sendiri memberi respon positif dengan Saifudin Nasution Ismail, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mengucapkan terima kasih kepada Najib, sementera Ong Kian Ming, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri mahu Ahli Parlimen Pekan itu melihat lebih dekat keseluruhan pembanginan "River of Life" itu.

Di dalam UMNO sekarang ini nampaknya hanya Najib satu-satunya pemimpin parti itu yang rajin bersuara, baik menegur dan mengkritik kerajaan atau turun padang ketika timbul isu-isu tertentu.

Yang lain-lain, termasuk Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO tanpa kuasa dan Ketua Pembangkang, Mohamad Hassan, Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas selaku Presiden UMNO dan Ahli-Ahli Parlimennya, sama ada yang pernah menjadi menteri atau tidak sebelum ini, semuanya seolah-olah tidak berfungsi atas kedudukan mereka sebagai wakil rakyat pembangkang sekarang ini.

Kalau ada pun seorang dua Ahli Parlimen yang kerap menulis di media sosial, tumpuan mereka selalunya lebih mengkhusus kepada persoalan politik dan tidak berkaitan dengan susah senang kehidupan rakyat.

Selari dengan keinginan rakyat untuk melihat pembangkang yang kuat dan benar-benar berperanan membela rakyat, sikap dan pendirian Najib ini memang boleh dipuji dan diberikan penghargaan, meskipun kekalahan UMNO dan BN dalam PRU14 lalu banyak berpunca daripada dirinya.

Beliau nampaknya tidak lemah semangat di sebalik kekalahan dan hilangnya kuasa sebagai Perdana Menteri, malah mahu terus berjuang memastikan “ada sinar cerah di hujung terowong” bagi BN dalam pilihanraya akan datang.

Dengan yang demikian, selari dengan falsafah “seseorang itu tidak dianggap bersalah selagi tidak dijatuhkan bersalah oleh mahkamah” dan bertembung dengan keadaan Zahid Hamidi yang langsung tidak berfungsi sebagai Ketua Pembangkang, adalah wajar UMNO segera melantik Najib sebagai Ketua Pembangkang yang baru.

Kedudukannya beliau yang berdepan dengan banyak kes di mahkamah tidak akan mencacatkan jika dilantik sebagai Ketua Pembangkang kerana ia juga sebahagian proses bagi bekas Perdana Menteri itu membersihkan dirinya.

Yang penting, dengan kedudukan sebagai Ketua Pembangkang itu, Najib boleh terus memainkan peranan dengan berkesan dalam menegur dan mengkritik kerajaan berdasarkan keupayaan serta pengalamannya sebagai bekas Perdana Menteri.

Dengan menjadi Ketua Pembangkang juga, beliau bukan saja dirasakan mampu bersuara dengan lebih baik di media sosial dan kerap turun padang apabila isu-isu tertentu yang melibatkan masyarakat, malah turut diyakini berupaya menghidupkan perdebatan yang menguntungkan rakyat di Parlimen.

Berbeza dengan Zahid Hamidi, sudahlah lemah dan tidak berfungsi di lapangan rakyat, dalam perbahasan Belanjawan 2019 baru-baru ini juga beliau gagal menampilkan kemampuannya membahaskan perkara itu atas kedudukannya sebagai Ketua Pembangkang.

Beliau sebaliknya menyerahkan kepada Khairy Jamaluddin untuk membahaskan Belanjawan 2019, sedangkan semua Ketua Pembangkang sebelum ini tidak pernah melepaskan peluang untuk berucap setiap kali belanjawan dibentangkan.

Mengekalkan terus Zahid Hamidi sebagai Ketua Pembangkang tidak memberi apa-apa nilai tambah kepada UMNO, BN serta rakyat yang mengharapkan kerajaan sentiasa dipantau melalui proses "check and balance" oleh pihak pembangkang.

Oleh kerana tidak ternampak pemimpin lain dalam UMNO sekarang ini yang seaktif dan segigih Najib untuk terus berjuang di era kekalahan ini, sebaliknya ramai yang "patah semangat" dan cuba mencari "pintu belakang" untuk kembali menjadi kerajaan, beliau rasanya paling sesuai serta diyakini boleh terus memainkan peranan sebagai Ketua Pembangkang yang berkesan sehingga PRU15 akan datang. (ShahbudinHusin 08/01/2019).
Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers