‘Pinda’ audit 1MDB: Kit Siang gesa Parlimen hukum Najib


Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak harus dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen kerana didakwa meminda laporan Jabatan Audit Negara mengenai 1MDB sebelum ia dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang membuat gesaan itu susulan kenyataan Ketua Audit Negara Madinah Mohamad yang mengesahkan bahawa Najib mengarahkan pendahulunya untuk memadam beberapa bahagian dalam laporan itu.
“Ini merupakan pendedahan yang paling mengejutkan dan penyalahgunaan kuasa secara mutlak yang menyerang asas integriti parlimen dan patut dipandang paling serius oleh semua rakyat Malaysia, khususnya ahli-ahli parlimen.
“Sekiranya dibuktikan Najib telah mengubah laporan bekas ketua audit negara mengenai 1MDB, maka terpulanglah kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen untuk mencadangkan kepada Parlimen hukuman yang patut dijatuhkan kepada Najib,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Madinah mendakwa Najib mengarahkan pendahulunya Tan Sri Ambrin Buang pada 22 Februari 2016, untuk memadam beberapa bahagian dalam laporan audit 1MDB.
Beberapa hari lalu, akhbar milik UMNO, Utusan Malaysia melalui tulisan “Awang Selamat” berkata Najib dan penjawat awam yang bersubahat dengan beliau adalah pengkhianat sekiranya dakwaan mengenai audit 1MDB itu benar. 

No comments: