Liew Chin Tong angkat sumpah sebagai Senator


Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong merupakan antara lapan senator baru yang mengangkat sumpah di Dewan Negara sebentar tadi.
Tujuh anggota Dewan Negara yang lain ialah Pengerusi Amanah Terengganu, Datuk Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah, Ketua PPBM Bahagian Ketereh, Mohd Radzi Md Jidin, Ketua PPBM Pulau Pinang, Marzuki Yahya dan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (Irda), Datuk Ismail Ibrahim.
Ini termasuk dua wakil PAS iaitu Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Hussain Awang dan Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Kelantan, Asmak Husin dan Pengerusi Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf), P Waythamoorthy.
Kesemua mereka mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri S A Vigneswaran di Parlimen.
Tempoh jawatan ini adalah tiga tahun berkuat kuasa hari ini bagi Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-14 dan mereka ialah barisan pertama yang dilantik selepas Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum ke-14.
Sebelum ini, jawatan Senator mewakili DAP disandang oleh Dr Ariffin Omar sehingga 1 Jun lalu manakala tempoh perkhidmatan Chandra Mohan S. T. pula dijangka tamat pada 15 Disember tahun ini.
Chin Tong yang juga Pengarah Biro Pendidikan Kebangsaan DAP merupakan antara yang disebut-sebut bakal dilantik ke jawatan Timbalan Menteri selain Raja Kamarul Bahrin dan Waythamoorthy. 

No comments: