Ketua pentadbiran UiTM didakwa bawa agenda politik BN


Warga Universiti Teknologi Mara (UiTM) menggesa Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik supaya mengambil tindakan ke atas ketua pentadbiran institusi pendidikan berkenaan kerana dikatakan membawa agenda politik Barisan Nasional (BN) sekali gus memburukkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Dalam sepucuk surat yang mereka alamatkan kepada Menteri Pendidikan, mereka yang menggelar diri sebagai Warga UiTM Prihatin berkata, setiap tindakan yang dibuat oleh Kerajaan PH dipertikai oleh pegawai-pegawai yang rapat dengan pendaftar melalui mesej tertentu yang dihantar menggunakan platform teknologi alam maya (contohnya isu MARA, UEC, Raja-raja Melayu dan Islam).

Jelas mereka, tidak lama selepas keputusan PRU14 yang membawa kemenangan PH, satu mesyurat khas telah dibuat oleh Pendaftar untuk membincangkan kesan buruk Kerajaan PH terhadap UiTM.
“Kami amat mengalu-alukan kenyataan YB yang meminta pensyarah dan pegawai kanan universiti yang tidak sehaluan dengan kerajaan sekarang untuk meletak jawatan. Bagi kami pembersihan tidak hanya berlaku dalam kalangan Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor sahaja tetapi ianya perlu melibatkan skim pentadbiran seperti skim Penolong pendaftar di UiTM.
“Walaupun di UiTM kami dipimpin oleh Naib Canselor tetapi dalam banyak perkara ianya dicaturkan oleh Pendaftar dan kroni beliau terdiri daripada Ketua Timbalan Pendaftar.
“Beliau akan mempengaruhi Naib Canselor dan menggunakan mesyuarat-mesyuarat tertentu untuk mengesahkan atau menghalalkan perkara-perkara yang beliau telah rancang seperti pelantikan pangkat, pertukaran staf, pengisian jawatan-jawatan penting seperti pelantikan Dekan yang cenderung menyokong BN,” kata mereka.
Tambah mereka, sebelum PRU14 semua warga UiTM telah dipaksa oleh pengurusan atasan UiTM untuk mengikuti beberapa siri program Qalbu yang dibuat secara besar-besaran dan menyeluruh di mana program ini adalah program seumpama Biro Tata Negara (BTN) dan berselindung dengan objektif untuk memperkasa jati diri Melayu.
Salah seorang penceramah yang mengendalikan bengkel ini adalah Datuk Lokman Nor Adam (kawan Pendaftar). Progam ini pada hakikatnya adalah untuk meminta warga UiTM untuk mengundi BN, menimbulkan perasaan perkauman, menakutkan orang Melayu akan kehilangan kuasa dan memburukkan kepimpinan PH terutama Tun M, jelas mereka.
“Kami warga yang prihatin ingin menyatakan program Qalbu ini telah menggunakan wang rakyat dan tidak membawa impak kepada universiti sebagai gedung ilmu, malah membawa UITM kearah belakang dan hanya mempunyai kepentingan politik semata-mata.
“Pegawai atasan UiTM ini lebih mementingkan agenda BN daripada agenda Pendidikan yang sepatutnya. Kami khususnya warga bawahan UiTM yakin, agenda perubahan sukar dilaksanakan, jika Pendaftar dan timbalan-timbalan beliau masih lagi diberi kercayaan untuk menerajui UiTM terutamanya untuk melaksanakan janji manifesto.
“Pihak kami memohon YB, untuk mengambil tindakan yang sewajarnya untuk menjadikan UiTM sebagai universiti yang tersohor dan bebas daripada politik,” kata mereka lagi.

No comments: