DAP buka tujuh cawangan baru di serata Kelantan



Penerimaan terhadap DAP semakin mendapat tempat di Kelantan berjaya menubuhkan tujuh lagi cawangan dengan keanggotaan lebih 1000 ahli baru di negeri itu.

Penubuhan cawangan baru ini dilihat sebagai kesinambungan gerak kerja parti yang telah berjaya menubuhkan dua cawangan penaja DAP di Jalan Kebun Sultan dan Gajah Mati, Kota Bharu pada Mei tahun lalu.

Menurut Pengerusi DAP Kelantan, Chua Chin Hui, tujuh cawangan baru tersebut ialah di Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Bachok, Pasir Mas, Tumpat, Kuala Krai dan Machang selain cawangan sebelum ini di Kampung Gajah Mati dan Jalan Kebun Sultan.

Beliau berkata demikian dalam majlis Sambutan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri DAP Kelantan dekat Crown Garden Hotel malam tadi.

Turut hadir ialah tokoh veteran DAP yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri  Lim Kit Siang.
Dalam ucapannya, Kit Siang berkata rakyat perlu memberikan mandat kepada sebuah kerajaan yang bersih.
Tegasnya, DAP bukan sahaja berhasrat untuk menentang Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang tetapi juga kerajaan PAS yang hampir tiga dekad memerintah negeri itu.

“Rakyat akan memberi mandat kepada sebuah kerajaan yang bersih dan tak korup, justeru, kerja keras kita perlu bermula daripada sekarang untuk menawan Kelantan lima tahun akan datang.

“Hari ini sebanyak tujuh cawangan baharu telah dibuka dan kita sangat berbangga dengan jumlah penyertaan ahli hari ini,” kata beliau.

Selain Kit Siang, hadir sama pada majlis tersebut ialah Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji; Setiausaha Biro Organisasi DAP Kebangsaan, Vincent Wu dan Pengarah Hal Ehwal Pembangunan DAP Kelantan dan Terengganu; Lee Chin Chen. 


No comments: