Sekolah patut bebas dari pengaruh politik kepartian – Hannah Yeoh



Semua sekolah perlu bebas dari pengaruh politik partisan dan wajar membenarkan wakil rakyat daripada kerajaan mahupun pembangkang termasuk dari UMNO untuk terlibat sama dalam program anjuran sekolah kata Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh.
Menurutnya, tindakan melarang mana-mana Ahli Parlimen mahupun Adun daripada pembangkang yang diamalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu perlu dihentikan.
“Sekiranya Pakatan Harapan tidak memenangi pilihan raya dan membentuk kerajaan di Putrajaya, apa yang diamalkan sebelum ini akan terus berlaku,” ujarnya.
Beliau berkata demikan dalam kenyataan selepas memenuhi jemputan ke majlis anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Dr Ismail semalam.
Hannah turut berkongsi pengalamannya ketika dilarang memenuhi undangan ke majlis anjuran sebuah sekolah di Subang Jaya pada 2008 walaupun telah menjadi wakil rakyat bagi kawasan berkenaan.
“Kementerian Pendidikan di bawah kerajaan Barisan Nasional ketika itu kemudiannya mengeluarkan pekeliling supaya melarang wakil-wakil rakyat Pakatan Rakyat untuk menghadiri program anjuran sekolah.
“Lebih menghairankan, kementerian menyenaraikan pula senarai mereka yang dibenarkan. Kebanyakannya mewakili UMNO, MCA, MIC dan komponen BN yang lain malah bekas calon MCA yang saya tewaskan pada pilihan raya pada 2008 dan 2013 pula dijemput untuk merasmikan program sekolah ketika itu,” katanya lagi.

No comments: