Thursday, April 26, 2018

Yang baru, muda dan Melayu dari DAP untuk PRU14


Tuan-tuan dan puan-puan, adik kakak sekalian. DAP dengan penuh rasa besar hati mempersembahkan, enam orang calon muka baru (dan tak berapa baru) selain, muda dan Melayu untuk pertimbangan rakyat Malaysia.
Sebenarnya kali ini ada sepuluh calon Melayu semuanya. Enam ini yang belum cecah 40 tahun usia. Bahkan ada yang belum masuk liga 30 tahun pun sebenarnya.
Zairil Khir Johari, 35 tahun adalah mantan Ahli Parlimen Bukit Bendera. Muncul kali pertama di lapangan politik Malaysia apabila membuat keputusan untuk meninggalkan industri pembuatan coklat yang diceburinya sejak tahun 2007, dan dilantik menjadi pegawai khas kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.
Graduan MMU dan kemudiannya School of Oriental and African Studies, University of London ini bakal bertanding di kerusi DUN Tanjung Bungah, Pulau Pinang.
Young Syefura Othman atau lebih popular dengan panggilan Rara, bakal bertanding di DUN Ketari, Pahang. Anak kelahiran Lumut, Perak berusia 28 tahun ini berpengalaman sebagai Ahli Majlis Perbandaran Kajang, dan penyelaras Impian Kelantan; inisiatif DAP dan NGO memulihkan penempatan penduduk yang terjejas akibat banjir lumpur pada penghujung tahun 2014.
Rara dikenali umum sebagai aktivis politik dan masyarakat, dan merupakan Penolong Setiausaha Wanita DAP di peringkat nasional.
Sheikh Omar Ali, 33 tahun lahir dan membesar di Kluang, Johor. Beliau adalah calon di DUN Paloh. Mantan aktivis PAS ini merupakan bekas pimpinan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya di zaman mahasiswanya.
Selepas menamatkan pengajian universiti, beliau bertugas sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik sebelum melibatkan diri sepenuh masa dalam gerak kerja politik sebagai Setiausaha Eksekutif Sekretariat Pakatan Rakyat Pusat dari tahun 2010 hingga 2013.
Edry Faizal pernah bertugas sebagai felo penyelidik Islamic Renaissance Front, dan kemudian setelah menyertai DAP, menjadi penyelaras Sekolah Demokrasi, program pendidikan politik anjuran parti.
Calon DUN Dusun Tua berusia 33 tahun ini turut berpengalaman sebagai Ahli Majlis Perbandaran Selayang, selain pernah menjadi pengulas isu semasa dalam siri video pendek ‘Kupas’ stesen radio BFM. Edry juga adalah seorang pemuzik, dan juga merupakan AJK DAP Selangor. Serba serbi boleh.
Syerleena Rashid adalah seorang Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang sejak tahun 2015. Graduan Universiti Sains Malaysia ini menerima pendidikan awal di Sekolah Convent Green Lane, tidak jauh dari kawasan yang ditandinginya sekarang di DUN Seri Delima.
Sebelum menyertai politik, Syerleena (umurnya rahsia) adalah pengarah sebuah syarikat rekreasi dan kesukanan. Beliau mengajar wakeboarding, dan kemahiran berlayar. Jangan main-main, beliau juga seorang yang aktif bergiat dalam sukan kickboxing. Anak jati Pulau Pinang ini juga adalah Ahli Lembaga Pengarah Penang Youth Development Corporation (PYDC).
Jamaliah Jamaluddin, 29 tahun membesar di Lembah Klang dan lepasan Northwood University, Amerika Syarikat. Berpengalaman dua tahun sebagai Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya, beliau bakal bertanding di DUN Bandar Utama.
Jamaliah (atau panggilan manjanya, Aaliah) adalah cucunda kepada pemimpin Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Allahyarham Shamsiah Fakeh.
Pada PRU ke-14 ini, DAP bakal bertanding di 152 kerusi (DUN dan Parlimen), dan mempertaruhkan 148 orang calon, 4 orang calon bertanding di kedua-dua kerusi DUN dan Parlimen.
Di 47 kerusi Parlimen dan 105 kerusi DUN yang ditandingi, DAP meletakkan 27 orang calon wanita. 58 orang calon bawah 40 tahun, 9 bawah 30 tahun. 40 peratus daripada calon-calon DAP adalah dalam kategori ‘pemuda’.
Untuk rekod, Pada tahun 1974, DAP pernah meletakkan 38 calon Melayu, diikuti 57 orang pada tahun 1978. 
Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers