Kenapa UMNO takut muafakat Anwar-Mahathir?


“Saya musykil mengapa Umno begitu takut dengan gabungan Tun Mahathir dan Anwar.”
Demikian kata Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim; dalam kenyataan terbarunya dari tirai besi.
Mantan timbalan perdana menteri yang dipecat Dr Mahathir itu menegaskan bahawa beliau menerima baik kesediaan Mahathir untuk menjalinkan persahabatan.
“Saya tidak tahu mengapa pimpinan UMNO menganggap kerjasama saya dan Tun Mahathir sebagai satu perkara yang janggal kerana kami telah bermusuhan begitu lama,” ujarnya.
Anwar dan Mahathir bertemu di mahkamah September 2016, setelah hampir 20 tahun saling berseteru sejak gerakan Reformasi tercetus pada September 1998.
“Muafakat ini juga adalah kerana tekad kami bersama untuk menjana perubahan. Negara kini menjadikan rasuah dan penyalahgunaan kuasa sebagai budaya.
“Skandal skala besar saperti 1MDB dan Felda cuba dilindungi. Maka hanya dengan perubahan kuasa, negara dapat dikemudi berdasarkan Perlembagaan dan hukum,” tegas beliau yang kini menanti dibebaskan pada 8 Jun nanti.
Beliau turut telah diumumkan sebagai calon perdana menteri kelapan, menggantikan Dr Mahathir, apabila Pakatan Harapan menang dalam PRU ke-14.
Bagi Anwar, PRU ke-14 adalah peluang terbaik untuk rakyat menentukan masa depan negara, menghentikan kezaliman serta bebas daripada segala bentuk penindasan.
Pada PRU ke-14 nanti, Dr Mahathir akan bertanding di kawasan Parlimen Langkawi dengan menggunakan lambang PKR, parti yang ditubuhkan untuk menentangnya semasa gerakan Reformasi. 

No comments: