Saturday, April 14, 2018

‘Benar kata Hang Tuah, takkan Melayu hilang di dunia’ – Kit Siang


Kerajaan Persekutuan yang dipimpin Pakatan Harapan akan membuktikan ia lebih cekap dan mampu membela nasib orang Melayu, lebih baik daripada UMNO-BN.
“Benar kata Hang Tuah, takkan Melayu hilang di dunia.
“Melayu takkan hilang di dunia di mana Pakatan Harapan menjadi Kerajaan Persekutuan dan membuktikan ia lebih berjaya, cekap dan mampu membela nasib dan kepentingan orang Melayu, Cina, India, Kadazan dan Iban berbanding kerajaan UMNO-BN.”
Demikian ucapan pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang dalam ceramahnya di Bukit Baru, Melaka, malam semalam.
Kit Siang menegaskan bahawa di bawah kepimpinan Pakatan Harapan, orang Melayu tidak perlu bimbang kehilangan kuasa politiknya.
“Mana mungkin ini berlaku. Ada tiga faktor demografik besar yang telah sebati dalam sistem di Malaysia.
“Peratus masyarakat Melayu semakin bertambah dalam populasi rakyat Malaysia, majoriti pengundi adalah pengundi Melayu, dan kawasan Parlimen dan DUN juga majoriti pengundi Melayu,” jelas beliau yang menyandang kerusi Parlimen Gelang Patah.
Persoalan yang sama juga pernah ditangani Sasterawan Negara A. Samad Said dengan memperingatkan tentang kuasa orang Melayu yang tidak pernah tergugat biar apa pun terjadi.
Pak Samad yang kini menganggotai DAP berulang kali menyebut bagaimana tidak mungkin orang Melayu boleh tergugat dalam politik Malaysia sekiranya UMNO tewas.
“Kata-kata bahawa orang Melayu dan Islam kini sedang terancam sukar masuk otak saya.
“Sejak merdeka, Perdana Menteri semuanya Melayu, Timbalan Perdana Menteri semuanya Melayu, Menteri Dalam Negeri semuanya Melayu, malah Menteri Besar kebanyakannya Melayu.
“Ini tidak termasuk Raja-raja Melayu, tentera dan polis yang majoritinya orang Melayu,” ujar Pak Samad dalam sebuah forum anjuran Roketkini beberapa tahun lalu.
Menurut Kit Siang, sebenarnya UMNO di zaman Najib Razak tidak membela nasib dan kepentingan orang Melayu, bahkan hanya kroni-kroni UMNO sahaja. 
Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers