Masyarakat Orang Asli lebih terbela bersama Pakatan Harapan kata aktivis


Aktivis Orang Asli Nasir Dollah hari ini menyeru komunitinya untuk melakukan perubahan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bagi memastikan perjuangan dan kepentingan hak masyarakat Orang Asli seluruh negara terbela.
“Kita perlu sama-sama lakukan perubahan demi negara, bangsa dan anak cucu kita, jangan biarkan sepenggal lagi UMNO untuk merompak, pastinya (kali ini) kita undi Pakatan Harapan,” katanya ketika dihubungi Roketkini.
Beliau menzahirkan rasa gembira kerana Pakatan Harapan (HARAPAN) tidak meminggirkan masyarakat Orang Asli dalam manifesto yang dilancarkan baru-baru ini.
“Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada pimpinan Pakatan Harapan yang telah menyiapkan beberapa Tawaran atau manifesto yang begitu sangat menyeluruh untuk rakyat Malaysia dan juga masyarakat Orang Asli.
“Setelah saya meneliti manifesto tersebut dan amat berpuas hati apabila PH telah menjanjikan untuk pembelaan khas mengenai isu dan permasalahan Orang Asli,” katanya yang juga wakil Orang Asli Majlis Pimpinan HARAPAN Kelantan.
Merujuk janji ke-38 manifesto HARAPAN katanya, HARAPAN telah berjanji akan membawa Laporan Inkuiri Nasional mengenai hak Tanah Adat Orang Asli ke Parlimen iaitu tahun pertama pemerintahan sekiranya berjaya mengambilalih pentadbiran di Putrajaya.
“Ini adalah penting saya fikir ibu segala permasalahan kita semuanya terletak dalam Laporan  SUHAKAM tersebut yang telah digagalkan oleh Umno BN sebelum ini 2013.
“Selain itu, cadangan untuk merombak JAKOA juga adalah satu formula yang baik dan perkara ini selalu saya dan rakan yang lain bincangkan serta perjuangkan,” jelasnya.
Menurutnya, kurangnya penglibatan Orang Asli dalam pentadbiran dan jawatan tertinggi agensi itu akan menimbulkan beberapa masalah disamping tidak mengenali hal ehwal dan keperluan masyarakat Orang Asli secara menyeluruh.
“Oleh itu, baik kalau JAKOA harus ditakdirkan oleh kita sendiri,” kata Nasir.
Beliau turut menyokong iltizam HARAPAN untuk memperbaiki kemudahan infrastruktur di perkampungan Orang Asli seluruh negara.
Katanya, meskipun lebih 60 tahun negara ini diperintah UMNO, kemudahan jalan dan infrastruktur asas lain di perkampungan Orang Asli tidak menyeluruh dan amat mengecewakan.
“Dari sudut pendidikan dan ekonomi juga ada dalam janjinya, ini akan memberi satu peluang yang lebih baik untuk anak-anak kamai khususnya di sekolah pedalaman.
“Kalau kita lihat kelengkapan sekolah di pedalaman begitu sangat daif sekali contohnya di Sekolah Kebangsaan Pos Hendrop, Gua Musang.
Sejak dulu tahun 1994 saya belajar di situ sehingga pada hari ini sekolah itu masih menggunakan bangunan yang sama lagi sempit, kenapa kerajaan di bawah BN gagal untuk menaiktaraf sekolah tersebut?” katanya lagi. 

No comments: