Dyana jawab fitnah ‘cif pencacai’ UMNO




KUALA LUMPUR, 11 OKT: Kempen jahat memburuk-burukkan imej DAP terus dilakukan dengan pelbagai kenyataan mengarut dan tidak masuk akal oleh Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa.
Kali ini Annuar mendakwa DAP mempergunakan wanita muda Melayu demi mencari publisiti dan bukannya berdasarkan kelayakan.
Menjawab serangan murahan itu, bekas calon parlimen Teluk Intan, Dyana Sofya berkata, DAP telah lama memiliki kader-kader wanita muda yang berkelayakan.
“Annuar Musa mungkin merasakan pengalaman saya selama lima tahun dalam politik, dan kelayakan saya dengan ijazah Sarjana dari School of Oriental and African Studies, University of London dan ijazah Sarjana Muda Undang-undang dari UiTM, sebagai tidak cukup layak dan cukup pandai di mata beliau.
“Kami (wanita muda di dalam DAP) cukup bijak dan cukup bangga untuk tidak menyokong mahupun membela kleptokrat, ketua penyamun dan ketua perompak 1MDB mahupun MARA.
“Kami (juga) tidak cukup bijak sehingga mampu membeli Porsche Panamera mahupun memecahkan berbotol-botol bir di pejabat SUK Selangor seperti pemimpin UMNO yang seorang itu,” ujarnya, merujuk Annuar sebagai ‘cif pencacai’ kepada Perdana Menteri.
Kata Dyana, DAP sentiasa memberi sokongan kepada mana-mana golongan wanita yang ingin menceburkan diri dalam politik.
Buktinya, DAP memiliki wakil rakyat termuda iaitu Adun Johor Jaya Liow Chai Tung yang hanya berusia 27 tahun manakala Hannah Yeoh pula dilantik sebagai speaker wanita pertama di dalam sejarah politik Malaysia pada usia 34 tahun.
“Ini sesuatu yang UMNO tidak dapat lakukan walaupun memegang tampuk kuasa selama 60 tahun.
“UMNO masih lagi tersangkut di dalam politik ras kerana tidak nampak akan pencapaian wanita-wanita muda ini hanya kerana mereka bukan Melayu.
“Annuar Musa yang sering menuduh parti lain memainkan isu ras, patut melihat ke dalam cermin,” katanya lagi. 

No comments: