NOR MOHAMED YAKCOP TERIMA SATU LAGI BAHAGIANNYA....




Serentak dengan hari terakhir pendengaran RCI forex hari ini, saksi penting berhubung siasatan kerugian urusniaga matawang asing, Nor Mohamed Yakcop menerima satu lagi "bahagian" dalam hidupnya apabila mengumumkan perletakan jawatan sebagai Timbalan Pengerusi Khazanah, cabang utama pelaburan milik kerajaan.

Perletakan jawatan beliau akan berkuatkuasa pada 30 September ini.

Ketika menjadi saksi RCI forex baru-baru ini, beliau secara terbuka mengaku bertanggungjawab terhadap segala urusniaga matawang asing serta kerugian yang ditanggung oleh Bank Negara pada tahun 90an dahulu.
Nor Mohamed Yakcop juga memberitahu, sepanjang mengendalikan urusan itu, beliau tidak pernah mengadakan sebarang perbincangan,  baik dengan Perdana Menteri mahu pun Menteri Kewangan.

Sehubungan itu, jelasnya, berikutan kerugian yang dialami oleh Bank Negara ketika itu, beliau telah menerima "bahagiannya" dengan diarahkan meletakkan jawatan serta-merta setelah berkhidmat selama 25 tahun.

Bagaimanapun, tegas Nor Mohamed Yakcop kerugian itu memberinya pengalaman berguna dalam membantu menangani krisis matawang pada 1997/98 dan berjaya menyelamatkan lebih banyak wang negara.
Tun Mahathir Mohamad dalam keterangannya kepada RCI forex semalam turut mengakui peranan penting Nor Mohamed Yakcop dalam perkara itu  dan menganggapnya sebagai penyelamat dalam menangani krisis matawang.

Keterangan beliau itu tentunya dianggap sebagai "pukulan maut" kepada Najib Razak yang menubuhkan RCI forex yang tidak diragui umum, malah diakui oleh Tun Mahathir sendiri, adalah semata-mata bertujuan untuk memburukkan dirinya dan juga Anwar Ibrahim.

Dengan Nor Mohamed Yakcop secara sukarela mengakui beliau yang bertanggungjawab, bukan sesiapa selainnya, akan jadi "kartunlah" kalau tiba-tiba kesalahan tentang kerugian urusniaga matawang asing itu dibebankan kepada pihak lain.

Sehubungan, ramai yang mengandaikan kedudukan beliau di Khazanah pasti terancam kerana keterangannya, meskipun berasaskan kebenaran, tetapi dilihat tidak sealiran dengan kehendak kerajaan.
Berikutan perletakan jawatan itu, Nor Mohamed Yakcop setakat ini telah menerima "dua bahagian"  berhubung kerugian urusniaga matawang asing.

Satu bahagian ketika diarahkan meletakkan jawatan di Bank Negara dan yang keduanya dengan meletakkan jawatan di Khazanah.

Bagaimana dengan hasil keputusan RCI forex yang dijangka akan diumumkan pada bulan depan?

Apakah nanti Nor Mohamed Yakcop akan menerima "bahagiannya yang ketiga"  pula atau "dua bahagian" saja sudah memadai baginya? (ShahbudinHusin 19/09/2017)

No comments: