Skandal BNM: Anwar dakwa Murad tidak bercakap benar beri keterangan RCI


Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kenyataan bekas Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Murad Abdul Khalid mengenai taklimat berkaitan kerugian mata wang asing BNM yang berlaku di dalam sebuah penerbangan ke Hawaii  adalah palsu.
Anwar mengulas kenyataan diberikan Murad bahawa dalam satu penerbangan ke Hawaii pada awal 1994, beliau telah diberikan taklimat berkenaan kerugian urusniaga mata wang asing yang dialami BNM.
"Saya berkata kononnya jika kerugian tersebut diketahui umum maka saya terpaksa meletakkan jawatan Menteri Kewangan. Sindiran berniat jahat beliau (Murad) cukup jelas - bahawa makna tersirat kata-kata saya itu ialah isu tersebut perlu ditutup. Tuduhan ini adalah palsu belaka. Saya tidak pernah berkata sedemikian kepada beliau.
"Saya menegaskan bahawa saya tidak perlu berkata sedemikian kepada seorang petugas seperti Murad yang diarah Gabenor BNM Tan Sri Jaffar Hussein untuk memberi taklimat kepada saya berkenaan aspek teknikal perakaunan dan isi kandungan laporan tahunan BNM.
"Saya ingin menegaskan bahawa selain satu taklimat ini, saya telah berurusan secara terus dengan Tan Sri Jaffar," terangnya.
Anwar berkata, beliau telah telah mengendalikan isu kerugian mata wang asing BNM ini sejak April 1993 sewaktu beliau diminta menjawab di Parlimen berdasarkan angka dan maklumat yang terkandung di dalam laporan BNM yang diterbitkan pada 1992 serta taklimat-taklimat BNM.
"Saya sekali lagi menjawab di Parlimen pada April 1994 berdasarkan laporan BNM pada 1993 serta taklimat BNM," ujarnya.
Anwar mendakwa Murad mulai memusuhinya secara peribadi sejak 1999 apabila Murad membuat akuan berkanun (statutory declaration) yang palsu terhadapnya.
"Akuan ini telah disiasat Badan Pencegahan Rasuah pada ketika itu dan didapati tidak berasas.
"Seorang hakim Mahkamah Tinggi mengesahkan hal ini dan berkata 'akuan tersebut meragukan (discredited)', apabila hakim memutuskan New Straits Times bersalah di dalam kes saman saya berkenaan satu laporan akhbar tersebut yang merujuk akuan berkenaan.
"Saya akan mengulangi kenyataan saya ini kepada pihak Suruhanjaya apabila saya dipanggil untuk membantu siasatan ini. Saya berkata "apabila saya dipanggil" kerana saya berasa amatlah tidak adil jika saksi-saksi lain dibenarkan membuat kenyataan dan dakwaan yang memudaratkan terhadap saya di hadapan Suruhanjaya walhal saya tidak dibenarkan memberi respon kepada mereka dengan cara yang sama," ujarnya.
Malah Anwar juga melahirkan kebimbangannya beliau tidak akan dibenarkan hadir pendengaran Suruhanjaya SIasatan DiRaja (RCI) terhadap kerugian mata wang asing BNM walaupun permintaannya berkali-kali dibuat peguam-peguamnya berdasarkan fakta bahawa nama beliau telah disebut beberapa kali oleh beberapa saksi.
"Sudah pasti saya seorang yang ada 'kena mengena dalam perkara yang sedang disiasat' seperti terkandung di dalam seksyen 18, Akta Suruhanjaya Siasatan 1950.
"Walaupun begitu saya hanya dapat mengikuti perkembangan pendengaran melalui pertemuan dengan peguam-peguam saya di Penjara Sungai Buloh," ujarnya yang mendakwa hanya membaca keterangan Murad berkaitan perenggan 37 itu bahawa beliau dimaklumkan tentang kerugian mata wang asing BNM di dalam penerbangan ke Hawaii pada 1994.

No comments: