Rundingan PKR-Pas mesti dilapor kepada Pakatan Harapan


Mohamad Sabu konvensyen Amanah Wilayah Persekutuan 2
Presiden AMANAH, Mohamad Sabu menegaskan sebarang rundingan antara PKR dan Pas perlu dimaklumkan kepada Pakatan Harapan.
Menurutnya, PKR boleh berunding dengan mana-mana pihak sekalipun tetapi apa yang dibincangkan itu harus turut diketahui AMANAH, Bersatu dan DAP.
"Dia berunding dengan siapa pun boleh berunding tapi mesti lapor pada mesyuarat Pakatan Harapan.
"Kita akan tentukan had masa (perbincangan PKR-Pas)," katanya ketika ditanya Malaysia Dateline semasa sidang media sempena Konvensyen AMANAH Wilayah Persekutuan di Central Plaza, Bukit Bintang semalam.
Walaupun Pas pada Mei lalu memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail baru-baru ini dilapor tidak menolak kemungkinan untuk bekerjasama dengan parti di luar Pakatan Harapan itu.
Mohamad selanjutnya berpendapat Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang sebagai detik paling sesuai untuk rakyat memberi mandat kepada Pakatan Harapan.
"Suasana sekarang memihak kepada (Pakatan Harapan) nak ambil alih pemerintahan (kerajaan pusat). Kalau tidak berlaku juga kita musykil di mana yang perlu kita buat lagi," ujarnya.
Beliau turut memberitahu siri jelajah menjelang himpunan 'Sayangi Malaysia Hapus Kleptokrasi' di Petaling Jaya, Selangor pada 14 Oktober nanti sedang giat berlangsung.
Terbaharu, di Ipoh, Perak malam tadi dan di Bera, Pahang kelmarin yang menyaksikan kehadiran tokoh-tokoh utama pemimpin AMANAH, Bersatu, DAP dan PKR.
"Harap puluhan ribu hadir dan sedang dimobilisasikan," katanya lagi ketika ditanya pemberita tentang anggaran peserta himpunan yang hadir dalam unjuk rasa secara aman itu.

No comments: