Rafizi masih ahli Parlimen Pandan, kata peguam


 | August 23, 2017gobind-singh-deo-rafizi-ramli-court-malaysia-1





Peguam, Gobind Singh Deo berkata, Rafizi Ramli hanya akan melepaskan jawatannya jika rayuan terakhirnya di Mahkamah Rayuan ditolak.
VIDEO INSIDE
KUALA LUMPUR: Peguam Rafizi Ramli berkata, ahli Parlimen Pandan itu tidak perlu melepaskan jawatannya, walaupun berdepan hukuman penjara 18 bulan kerana membocorkan laporan audit 1MDB yang diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).
Gobind Singh Deo berkata, Rafizi hanya akan melepaskan jawatannya jika rayuan terakhirnya di Mahkamah Rayuan terhadap sabitan mendedahkan kandungan laporan itu menerusi sebuah sidang akhbar di bangunan Parlimen tahun lalu, ditolak.
Sehubungan itu, katanya, Rafizi masih seorang wakil rakyat.
“Undang-undang menyatakan individu itu perlu melalui seluruh proses rayuan sebelum sebarang perubahan dibuat ke atas status ahli Parlimennya,” kata Gobind kepada pemberita di Mahkamah Tinggi hari ini.
Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan menyatakan ahli Parlimen akan hilang kelayakan selama 5 tahun, jika dia sabit kesalahan dan dijatuhkan hukuman penjara lebih setahun atau denda lebih RM2,000.




Gobind mengulas status Rafizi sebagai ahli Parlimen selepas Mahkamah Tinggi mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen yang menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan terhadap naib presiden PKR itu.
Mahkamah Tinggi sebelum ini menolak rayuan Rafizi atas sabitan untuk dakwaan di bawah Seksyen 8(1)(c)(iv) OSA kerana membocorkan halaman ke-98 laporan audit 1MDB pada Mac 2016.
Bagaimanapun, Hakim Datuk Azman Abdullah dalam penghakiman lisan hari ini membenarkan rayuan Rafizi terhadap sabitan ke atas stu lagi pertuduhan di bawah Seksyen 8(1)(c)(iii) OSA kerana memiliki dokumen itu.
Rafizi berkata, beliau tidak dapat bertanding pada pilihan raya umum akan datang, jika rayuannya tidak didengar sebelum pilihan raya umum diadakan.
“Tiada perubahan terhadap status semasa saya tentang kelayakan saya dan saya akan meneruskan tugas seperti biasa,” katanya.
Rafizi berkata, sebagai ahli politik, beliau bersedia menghadapi rintangan dalam menjalankan tugasnya.

No comments: