Beranikah Pas menuntut RCI Memali secara menyeluruh?


Shazni Munir Memali
 Pemuda AMANAH Nasional menuntut Pas agar mendesak kerajaan supaya telus dalam mendedahkan punca dan elemen asas yang mendorong berlakunya tragedi Memali pada 1985 jika Suruhanjaya PenyiasatanDiraja (RCI) itu ditubuhkan kelak.
Naib Ketua Pemudanya Shazni Munir Mohd Ithnin mempersoalkan pula sejauh mana keberanian Pas untuk berbuat demikian.
"Persoalannya, beranikah Pas menuntut suatu RCI yang telus dan menyeluruh  merangkumi aspek punca dan elemen-elemen asas yang mendorong ke arah tragedi tersebut?
"Pada hemat kami, keseluruhan aspek ini penting untuk disiasat memandangkan pihak kerajaan telah pun membentangkan Kertas Putih Peristiwa Memali di Parlimen pada tahun 1986.Image may contain: 4 people, people sitting and indoor


"Melalui perenggan 15, 16 dan 17 Laporan Kertas Putih berkaitan tragedi Memali dipercayai daripada ketaksuban terhadap 'Amanat Haji Hadi' yang erujuk kepada pidato Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Banggol Peradong pada 1981," ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Shazni turut menjelaskan lebih spesifik dalam perenggan ke-17, Muhamad Yusof bin Husin mengakui bahawa dirinya berpegang teguh dengan amanat itu dan berfahaman bahawa orang-orang Umno itu kafir.





"Pemuda AMANAH juga berpendirian, jika RCI tersebut tetap mahu ditubuhkan, siasatan perlu meliputi aspek-aspek penting berikut: a) Punca yang mendorong ke arah tangkapan allahyarham Ibrahim Libya. b) Punca yang menyemarakkan kegiatan takfiri ketika itu. c) Keganasan tindakan polis. d) Langkah kerajaan membendung fenomena takfiri. e) Kesan 'Amanat Haji Hadi' dan langkah pencegahan," ujarnya.
Justeru Pemuda Amanah mengharapkan agar RCI ini mampu meleraikan segala kekusutan dan tidak akan dibangkitkan lagi.
"Sejarah adalah tentang keteladanan dan iktibar daripada satu-satu peristiwa.
"Kami bertekad agar tiada lagi episod takfiri, termasuklah pengulangan insiden 'tanam jirat' yang telah mencarik keharmonian rakyat.Kita tolak takfiri dan bina semula masa depan negara," ujarnya.
 Pada 16 Ogos lalu PAS menggesa kerajaan menubuhkan RCI dan perlu memohon maaf di atas konfrontasi antara pihak berkuasa dan pengikut penceramah agama Ibrahim Mahmud 32 tahun lalu di Kampung Memali di Baling, Kedah, yang menyaksikan Ibrahim, 13 pengikutnya dan 4 anggota polis terbunuh.
Kerajaan pernah menerbitkan kertas putih Peristiwa Memali yang dikemukakan dalam Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada 1986.
Namun Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dipetik berkata saksi kejadian mendakwa Kertas Perintah 21 itu satu “pembohongan”.
RCI ini pula disambut positif oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang dipetik menerusi twitter berkata, kerajaan sedia pertimbangkan penubuhan RCI untuk mengkaji peristiwa Memali 1985 jika ada permintaan.

No comments: