Bagaimana skandal 1MDB menjejaskan kehidupan rakyat marhaen



1Malaysia Development Bhd (1MDB) ditubuhkan selepas Najib Razak mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada tahun 2009. Kononnya matlamat syarikat ini adalah untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara dengan menarik pelaburan asing ke Malaysia, terutamanya daripada negara Timur Tengah.
Malangnya, selepas mengumpul hutang mencecah RM50 bilion pada 2015 – bukan sahaja satu sen pelaburan asing tidak dapat ditarik, sekurang-kurangnya RM20 bilion telah diselewengkan oleh Najib Razak dan konco-konconya.

Wang dirompak
Berpuluh-puluh bilion ringgit telah dicuri masuk ke dalam syarikat Jho Low dan Riza Aziz, anak kepada Rosmah Mansor. Wang berbilion-bilion digunakan untuk berjudi di Las Vegas, berparti dengan arak tanpa had, membeli kapal layar mewah antara termahal di dunia, lukisan-lukisan yang tidak masuk akal harganya, barang-barang kemas, banglo dan kondo mewah di Amerika Syarikat dan Eropah.
Penglibatan Najib adalah terbukti dengan sejumlah AS$732 juta (RM3.1 bilion) yang disalur ke dalam akaun peribadi beliau di Ambank Malaysia antara 2011 ke 2014.
Sehingga hari ini, Najib masih menghebohkan perbelanjaan RM57 juta untuk menaja 5,711 jemaah haji selama 5 tahun. Tetapi beliau gagal memaklumkan bahawa wang berpunca 1MDB juga digunakan untuk membeli seutas rantai/cincin berlian merah jambu 22-karat bernilai US$27.3 juta (RM117 juta) bagi isterinya, Rosmah Mansor!
Skandal 1MDB telah mencetuskan siasatan pengubahan wang haram di seluruh dunia. Tindakan mahkamah telahpun diambil di Amerika Syarikat dan Singapura. BSI Bank dan Falcon Bank di Switzerland telah ditutup kerana menjadi pemudahcara pengubahan wang haram yang berpunca dari 1MDB.
Kini wang Tabung Haji, anak syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera dan Kementerian Kewangan telah digunakan untuk membeli hartanah 1MDB dengan harga yang terlampau mahal untuk menyelamatkan syarikat 1MDB. Namun begitu, hutang berkaitan 1MDB yang tertunggak masih melebihi RM40 bilion.
GST dikenakan, subsidi dipotong
Antara kesan-kesan skandal 1MDB termasuklah pelaksanaan cukai GST dan pemotongan subsidi barang-barang asas seperti gula dan minyak masak. Peruntukan perkhidmatan awam kerajaan seperti hospital, sekolah dan universiti sama sekali dicantas.
Kehilangan keyakinan pelabur-pelabur tempatan dan asing ternyata dengan penurunan nilai Ringgit secara mendadak. Semasa Pilihanraya Umum ke-13, kadar pertukaran adalah AS$1 dengan RM3.05. Selepas skandal 1MDB menggegar seluruh dunia, kini nilai ringgit menguncup sehingga RM4.30 setiap AS$1, penurunan sebanyak 41% dalam jangkamasa 4 tahun sahaja.
Akibat dasar-dasar percukaian dan pemotongan subsidi kerajaan BN, tambah lagi nilai Ringgit yang merudum dengan dahsyat, kadar inflasi negara hari ini adalah yang paling tinggi sejak krisis kewangan Asia 1998. Harga barang-barang keperluan asas semuanya melonjak tinggi belaka, mutu kehidupan rakyat jelata nyata semakian terjejas.
Walaupun bukti-bukti yang tidak dinafikan oleh Najib Razak dan isterinya telah dikemukakan, akan tetapi pimpinan UMNO-Barisan Nasional masih tetap menyokong pemerintahan beliau demi kepentingan diri mereka sendiri.
Yang mempersoal dipecat
Sesiapa yang cuba menuntut keadilan dan akauntabiliti dipecat – seperti mantan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail. Pegawai penyiasat Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) disuruh bersara atau ditukar jawatan. Yang Dipertua Dewan Rakyat pula melarang sebarang soalan dan perbahasan tentang kes-kes penyelewengan 1MDB.
Manakala, Peguam Negara yang baru, Tan Sri Apandi Ali mengarahkan supaya semua siasatan ditutup dan enggan memberi sebarang kerjasama kepada siasatan pengubahan wang haram antarabangsa.
Adalah jelas bahawa kalau Najib dan UMNO terus bermaharajalela di Malaysia, keadaan ekonomi dan kehidupan rakyat Malaysia akan semakin teruk. Kini aset-aset kepentingan negara tengah dilelong kepada kuasa-kuasa asing.
Hanya Harapan mampu
Rakyat Malaysia tiada pilihan lain kecuali menjatuhkan kerajaan Najib dalam pilihanraya yang akan datang. Hanya dengan sebuah kerajaan baru Pakatan Harapan, yang terdiri daripada Bersatu, Keadilan, Amanah dan DAP, segala kerosakan akibat pemerintahan UMNO dapat dipulihkan.
Kembalikan Malaysia ke zaman gemilangnya dahulu dan pilihlah sebuah kerajaan Pakatan Harapan yang bersih, cekap, amanah dan benar-benar prihatin kepada keperluan rakyat.
Sayangi Malaysia, Hapus Kleptokrasi! – Roketkini.com

*Tony Pua adalah Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara dan Setiausaha Publisiti DAP

No comments: