Pesta arak: DAPSY buat laporan polis, YDP PAS Gombak padam status fitnah




PETALING JAYA, 2 JUN: Satu laporan polis telah dibuat terhadap Yang Di-Pertua PAS Gombak, Salehhuddin Nasir ekoran kenyataan fitnah dan tuduhan palsu melibatkan pesta arak dan onani di Pulau Pinang dalam kemaskini status facebook.
Salehhuddin juga digesa supaya membuat permohonan maaf kerana mengeluarkan kenyataan menghina pemimpin DAP yang berbuka puasa dengan masyarakat Islam yang telah menimbulkan polemik tidak sihat di kalangan masyarakat majmuk di Malaysia.
Laporan polis telah dibuat oleh DAPSY Subang diwakili Shukri Mokhtar bersama pemimpin DAPSY yang lain di  Balai Polis Damansara.
Menurut Shukri, perbezaan pandangan adalah perkara biasa namun ia bukan bererti seseorang itu boleh melakukan apa sahaja.
“Saya sedih melihat YDP PAS Gombak memulakan bulan mulia ini dengan fitnah dan juga penyebaran berita palsu. Saya cabar beliau untuk beri bukti dan hujah, bahawa DAP pernah menganjurkan Pesta Arak dan Pesta Onani.
Jika kopiah dan serban itu dianggap sebagai lesen untuk menfitnah dan memaki hamun, maka tidak terkejutlah kita hari ini, YDP PAS Gombak, Ust Salehhuddin Nasir melakukan seperti yang sedemikian,” katanya.
Menurutnya, budaya politik yang dibawa pemimpin PAS itu perlu dihentikan dan harus mengikut undang-undang.
“Kes ini bukan lagi sekadar perselisihan politik tapi pelanggaran undang-undang melibatkan fitnah dan penyebaran berita palsu,” kata Shukri.
Sementara itu, berdasarkan carian di facebook, status Salehhuddin berhubung fitnah pesta onani dan arak di Pulau Pinang itu telahpun  dipadamkan.
Dalam kemaskini facebook terbarunya, Salehhuddin berkata oleh kerana status tersebut telah menimbulkan polemik dan kekeliruan serta kenyataan yang dibuat Timbalan Presiden PAS, ianya telah dipadamkan.
“Maka saya dengan ini memohon maaf sekiranya status tersebut telah mengakibatkan suasana tidak harmoni kepada semua lapisan masyarakat,” tulis Salehhuddin.

No comments: