Penyelia, guru agama di P.Pinang terima ‘bonus raya’


GEORGE TOWN, 18 JUN: Seluruh penyelia dan guru agama pelbagai peringkat di Pulau Pinang menerima Bantuan Khas Kewangan (BKK) 2017 berjumlah RM650,400 hasil dari urustadbir Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT).
Majlis penyerahan cek telah disampaikan oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng dalam satu majlis pada 16 Jun baru baru ini.
Menurut beliau, bantuan khas berjumlah RM650,400 itu kata merupakan tambahan kepada BKK berjumlah RM15.55 juta yang telah diberikan kepada guru-guru agama terlibat sejak tahun 2008 hingga 2016 dan sumbangan seperti ini tidak pernah diberikan oleh pentadbiran kerajaan terdahulu.
Sumbangan ‘bonus raya’ tersebut kata Guan Eng ialah sebagai menghargai sumbangan dan penghargaan kerajaan negeri Pakatan Harapan kepada guru dan penyelia agama negeri itu.
“Diharap bantuan khas ini akan membantu semua warga pendidik terlibat dalam meringankan beban mereka dalam menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat serta membuat persiapan raya,” kata beliau.
Pada tahun ini, sebanyak 1527 orang guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA), 13 Penyelia KAFA, 247 guru Sekolah Rendah Agama Rakyat dan 207 guru Sekolah Menengah Agama Rakyat menerima sumbangan sebanyak RM300.
Manakala, bagi 202 orang guru Maahad Tahfiz, 28 guru sekolah pondok dan 31 guru Tadika Islam (TADIS) pula menerima sebanyak RM200.
Hadir sama dalam majlis penyerahan tersebut ialah, Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim.
Menurut Guan Eng, sejak Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran kerajaan Pulau Pinang dengan dasar pentadbiran CAT, kerajaan negeri berjaya mencatatkan lebihan belanjawan setiap tahun iaitu sebanyak RM578 juta dalam tempoh lapan tahun (2008 hingga 2015).
“Ia adalah jauh beza dengan lebihan RM373 juta yang dikumpul kerajaan era Barisan Nasional selama 50 tahun (1957 hingga 2007).
“Hasil lebihan belanjawan setiap tahun tersebut telah membolehkan Kerajaan Negeri memberikan BKK. Kita (Kerajaan Negeri) nak pastikan semua lapisan rakyat mendapat sedikit imbuhan.
“Malah, jumlah peruntukan Hal Ehwal Agama Islam juga telah naik 84 peratus kepada RM457.05 juta untuk tempoh 2008 hingga 2016, berbanding RM249.09 juta pada tempoh sama (1999 hingga 2007),” jelas beliau

No comments: