Penduduk kampung air menderita, wakil rakyat UMNO tidak buat kerja?



SEPANGGAR, 2 JUN: Sepenggal telah berlalu, nampaknya, wakil-wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai dalam Parlimen Sepanggar tidak boleh berbangga dengan prestasi perkhidmatan mereka di kawasan ini.
Apa yang berlaku, mereka ‘berjaya’ mengecewakan sekitar 4,000 penduduk di kawasan perkampungan atas air Kg Numbak apabila gagal mengambil perhatian dan bertindak membantu menyelesaikan masalah di sana.
Dalam lawatan DAP Sabah baru-baru ini, rata-rata penduduk yang ditemui menzahirkan rasa kecewa dan sedih dengan sikap wakil rakyat kawasan itu yang disifatkan telah menganak-tirikan mereka.
Bagi yang belum pernah menjejakkan kaki ke Kg Numbak, anda akan terkejut dengan keadaan dhaif laluan kebanyakan pejalan kaki yang reput, sempit dan tidak selamat digunakan.
Menurut penduduk, walaupun telah banyak kali membuat aduan, tiada sebarang tindakan diambil. Mereka turut mengkritik Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Karambunai, Datuk Hajah Zainab yang dilihat kurang turun padang menyelesaikan masalah penduduk di sana.
Salah seorang penduduk kampung, Abdul Jais Migih, memberitahu bahawa penduduk merasa sangat marah dan kesal dengan kelakuan wakil rakyat yang langsung tidak peduli masalah penduduk yang memberikan sokongan kepadanya selama ini.
“Tidak ada sebarang tindakan diambil untuk menyelesaikan masalah kami disini, malah Datuk Jainab langsung tidak pernah tunjuk muka bertemu masyarakat di kampung ini,” katanya.
Lawatan DAP Sabah baru-baru ini disertai oleh Penasihat DAP Sabah, Jimmy Wong Sze Phin;  Setiausaha Publisiti DAP Sabah merangkap Penyelaras DAP DUN Luyang, Phoong Jin Zhe; Pengarah Pendidikan Politik DAP Sabah, Adrian Lasimbang dan Pengarah Perhubungan DAPSabah, Gracella Santianna Yong.
Menurut Penasihat DAP Sabah Jimmy Wong, DAP Sabah melahirkan rasa terkejut dengan keadaan jambatan dan laluan penduduk yang terlalu dhaif.
“DAP akan membantu masalah dan keluhan penduduk disini namun wakil rakyat dikawasan ini tidak harus lepas tangan begitu saja.
“Ini kerana mereka adalah wakil rakyat yang di pilih dan dipertanggungjawabkan oleh penduduk di sini untuk membela dan membantu ketika mesyarakat berada dalam kesusahan,” tegas Jimmy.
Setiausaha Publisiti DAP Sabah, Phoong Jin Zhe berkata, walaupun kampung ini terletak berhampian dengan kawasan kondominium dan pusat membeli belah mewah, apa yang menyedihkan, kampung tersebut jauh ketinggalan.
“DAP sedang mengkaji untuk mengadakan projek Impian Sabah di sini sekaligus membantu rakyat yang selama ini ditindas oleh kerajaan supaya kehidupan mereka lebih baik,” katanya.
Pengarah Pendidikan Politik DAP Sabah, Adrian Lasimbang berkata, wakil rakyat kawasan itu tidak wajar lepas tangan terhadap kesulitan dan bahaya yang dihadapi penduduk.
Rombongan DAP Sabah bersama penduduk Kg Numbak.
Pengarah Perhubungan DAP Sabah, Gracella Santianna Yong melahirkan rasa pilu dan sedih melihat keadaan kampung yang dianak-tirikan oleh pemimpin yang sebelum ini disokong kuat penduduk setempat.
Bekalan air mahal, tiada pengurusan sampah sarap
Dalam satu lawatan Roketkini sebelum ini, selain masalah laluan pejalan kaki yang dhaif dan bahaya, antara isu yang diadu penduduk ialah masalah bekalan air bersih yang terpaksa dibeli dengan harga yang mahal iaitu RM0.50 bagi segelen air dan penggunaan minimum bagi setiap keluarga biasanya sekitar lima gelen.
Menurut Ida (bukan nama sebenar) berusia 32 tahun, kebanyakan keluarga di sini terpaksa membayar air secara mingguan.
“Saya bayar air minggu-minggu (secara mingguan), seminggu dalam RM70 kena bayar. Kalau banyak guna air basuh baju, lagi mahal kena bayar,” katanya.
Ada sebahagian penduduk pula terpaksa mendapatkan air dengan ‘orang tengah’ dengan harga yang lebih mahal dari tariff sebenar.
Keadaan laluan pejalan kaki yang usang dan berbahaya.
Selain masalah air, penduduk juga berhadapan dengan ancaman wabak penyakit ekoran ketiadaan sistem kumbahan dan sistem pengurusan sampah.
Dari pemerhatian Roketkini, semua najis, air basuhan dan sebagainya dibuang terus ke bahagian bawah rumah yang merupakan laut.
Persoalan yang berlegar pada saat ini ialah, apa yang telah dilakukan oleh wakil rakyat kawasan ini untuk menyelesaikan kerumitan penduduk?
Nantikan laporan seterusnya mengenai Kg Numbak. –Roketkini.com

No comments: