Pedulikan siapa PM ke-7 asalkan…


Heboh akhbar-akhbar tempatan, stesen televisyen termasuk portal berita memainkan isu siapa perdana menteri ketujuh Malaysia andai kata Pakatan Harapan berjaya menumbangkan Barisan Nasional pada pilihan raya umum ke-14.
Sekilas pandang, media pro-kerajaan kelihatan lebih teruja memainkan isu tersebut kerana ia mampu mencerminkan keretakan dalam pakatan pembangkang dalam memilih calon perdana menteri yang akan mengemudi negara untuk tempoh lima tahun, demi memberi kelebihan kepada BN.
Bagi mempertahankan BN, media pro-kerajaan akan berhempas-pulas untuk menunjukkan betapa Pakatan Harapan akan ‘menghancurkan’ negara dengan ketiadaan perpaduan dan persepakatan dalam menjalankan tugas memajukan negara dan memakmurkan rakyat.
Itu dakyah BN untuk menyorokkan kelemahan sendiri, sekaligus merendah-rendahkan kemampuan pembangkang untuk mengambil alih Putrajaya selain menuduh parti komponen pakatan pembangkang sebagai anti-Islam, anti-Melayu, pro-Kristian dan segala bentuk perkauman lain.
Hakikatnya, sesiapapun jua tetapi pastinya tokoh pembangkang Melayu seperti yang disepakati semua, sama ada pemimpin dari PKR ataupun BERSATU yang akan diangkat menjadi perdana menteri, pemimpin nombor satu Malaysia itu tidak lagi menjalankan tugasnya dalam kerangka politik seperti yang diamalkan Umno pada masa ini.
Kelemahan sistem PM sekarang
Pada masa ini, dalam BN, Umno mendominasi kerajaan dan semua parti komponen perlu bersetuju untuk melantik sesiapa jua yang menjadi presiden Umno untuk diangkat menjadi PM selain turut membenarkan kebanyakan kementerian dikuasai oleh pemimpin Umno, walaupun terpaksa melantik mereka yang di kalangan tidak berapa bijak.
Selain itu, semua parti komponen perlu akur, tunduk dan mendapatkan restu Umno dalam mengambil sebarang tindakan termasuk strategi parti dan pemilihan pimpinan utama selain segala tindakan presiden Umno perlu disokong walaupun secara membuta-tuli.
Namun, kerangka pemilihan PM pakatan pembangkang sangat berbeza kerana, siapapun jua yang menjadi perdana menteri akan ‘diawasi’ oleh semua parti komponen yang boleh diumpamakan ‘berdiri sama tinggi, duduk sama rendah’.
Maknanya, Pakatan Harapan tidak akan menjadi seperti BN yang memberikan kuasa dominan kepada Umno untuk terus berkuasa dan mentadbir negara walaupun sehingga ke tahap mengheret nama Malaysia dalam kancah yang cukup memalukan seperti yang berlaku sekarang.
Dalam hal ini, semua sedang melihat bagaimana parti komponen utama seperti MCA dan MIC terpaksa akur, tutup mulut dalam segala perkara angkara parti dominan walaupun berdepan kehilangan sokongan masyarakat Cina dan India yang kian menyusut.
Keadaan sama turut meresapi sayap pemuda dan puteri Umno yang sepatutnya lantang bersuara, berpegang kepada kebenaran dan menyampaikan aspirasi warga muda, tetapi terpaksa menikus dan menuruti kehendak bos-bos atasan kerana khuatir hilang jawatan, kontrak dan sebagainya.
PM ketujuh ‘terkawal’
Dalam Pakatan Harapan, keadaan seperti itu adalah mustahil untuk berlaku kerana jika PM dari PKR atau BERSATU ini ingin melakukan sesuatu, pastinya perlu mendapatkan restu dan sokongan dari semua parti komponen, bukan satu parti dominan untuk kebaikan semua pihak tanpa mengira kaum dengan satu matlamat iaitu menjadikan Malaysia negara yang lebih baik.
Jika PM Pakatan Harapan terjebak dalam kancah seperti yang didedahkan oleh DOJ baru-baru ini, parti-parti komponen mempunyai kekuatan yang sama banyak dengan parti asal PM untuk mengheretnya ke muka keadilan tanpa rasa takut atau memihak sesiapa.
Makanya, jika hari ini PM Pakatan Harapan itulah yang menjadi Malaysian Official 1 atau MO1, maka dengan mudahnya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan untuk menyiasat kemelut itu secara telus, adil tanpa campur tangan mana-mana pihak.
Lebih dari itu, antara ‘kelebihan’ segera dalam kerangka pentadbiran negara terutama sistem PM di bawah sistem Pakatan Harapan ialah jika Malaysia mempunyai PM baru selepas PRU14, maka cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang cukup membebankan rakyat akan terhapus.
PM ketujuh akan ‘menjalankan’ tugasnya sejajar dengan konsensus Pakatan Harapan sebelum PRU14 untuk menghapuskan cukai itu selain meminda Akta Pembangunan Petroleum 1974 bagi menyekat kuasa solo seorang PM ke atas kawalan kewangan Petroliam Nasional Bhd. (Petronas).
GST, monopoli ekonomi
Walaupun jika PM ketujuh mahu terus melaksanakan GST atau memperkenalkan cukai baru agar pemerintahan boleh dijalankan tanpa kekangan kewangan, parti-parti komponen dalam Pakatan Harapan berdaya kuasa untuk mengingatkan beliau agar dengan segera memansuhkannya.
Ini kerana mereka telah ‘belajar’ daripada BN bahawa sebarang ‘kesusahan’ yang dibawa oleh pemerintah akan mengundang bencana besar kepada kehidupan harian rakyat jelata selain menjejaskan sokongan kepada parti.
Di samping itu, PM ketujuh juga pastinya akan menghapuskan sistem monopoli ke atas barangan teras seperti beras, gula, tepung, minyak masak dan sebagainya agar harga di pasaran ditentukan oleh permintaan dan penawaran, sekaligus menandakan berakhirnya sistem penentuan harga oleh taukeh dan taikun korporat tempatan.
Pastinya PM ketujuh itu akan mencari jalan untuk menyelesaikan masalah nombor satu negara pada masa ini iaitu kenaikan kos sara hidup yang tidak terkawal dan masalah ekonomi di kalangan rakyat negara ini kerana mereka mempunyai idea yang segar dan mahu meningkatkan popularitinya.
Justeru, percayalah bahawa isu siapa yang akan menjadi PM ketujuh Malaysia bukan masalah yang cukup berat kerana masalah negara hari ini berpunca dari sistem dominasi parti tertentu yang akhirnya menjurus kepada masalah diktator.
Masalah diktator ini sangat merbahaya kerana apa yang “betul boleh jadi salah, yang salah boleh jadi betul’ demi kepentingan peribadi untuk mengekalkan kuasa sebagai orang nombor satu negara. – Roketkini.com

No comments: