Friday, June 23, 2017

Jaminan PM hanya retorik, BN akan mungkir jika kekal di Putrajaya, kata MP PKR



Johari Abdul
Rakyat tidak harus menaruh kepercayaan kepada janji-janji perdana menteri dalam Majlis Konsultasi Bajet 2018 untuk memperhalusi dan memberi pertimbangan wajar kepada semua cadangan yang dikemukakan rakyat lebih-lebih lagi menjelang pilihan raya umum kerana ia akan dilupakan jika BN kembali ke tampuk pemerintahan.
Ahli parlimen Sungai Petani Johari Abdul berkata, majlis seumpama itu bukan pertama kali dianjurkan malahan diadakan setiap tahun, namun masalah sama masih tidak dapat diselesaikan sedangkan pelbagai masalah pula timbul.
Menurut beliau, janji-janji yang dibuat pihak pemerintah hanyalah menjelang pilihan raya dan pasti akan dilupakan selepas BN memperolehi kemenangan.
"Menurut (Datuk Seri) Najib Razak, majlis itu merupakan platform penting bagi sektor awam, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memberi pandangan dan memberi maklum balas terhadap cabaran dan isu-isu semasa serta langkah menanganinya membuktikan dasar keterbukaan dan keprihatinan kerajaan dalam mendahului kepentingan rakyat.
"Namun, saya berpendapat bahawa penganjuran majlis itu hanya sekadar sesi luahan perasaan rakyat sahaja dan kemudian kerajaan tidak akan ambil pandangan atau maklum balas mengenai apa yang sudah diutarakan," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, BN sepatutnya mengutamakan isu-isu rakyat seperti kekurangan pekerjaan, kos sara hidup yang tinggi, bebanan GST dan seumpamanya.
Isu-isu menyentuh kepentingan rakyat ini, ujarnya memerlukan penyelesaian segera.
"Kalau hanya pandai berjanji tanpa tindakan, ianya tidak akan mendatangkan apa-apa hasil dan itu akan menambahkan tekanan kepada rakyat," katanya.
Johari menambah, walaupun Najib mengakui topik pendidikan banyak dibincangkan dengan wakil persatuan yang berharap peruntukan pendidikan ditingkatkan terutama bagi golongan berpendapatan rendah dan kurang upaya, namun peruntukan pendidikan tetap dipotong saban tahun.
Menurut beliau, negara sebaliknya banyak menghabiskan wang dengan melakukan projek mega yang tidak mendatangkan faedah daripada menjadikan pelajar sebagai aset negara pada masa akan datang.
"Rakyat dapat lihat dan nilai sendiri kerajaan di bawah pentadbiran Umno BN ini tidak peka dengan isu semasa, yang mereka tahu hanya bermain sandiwara dan memberi harapan kosong kepada rakyat.
"Oleh itu, saya berharap rakyat bijak menilai 'janji-janji' yang ditaburkan oleh kerajaan dan dapat membuat keputusan tepat dalam PRU akan datang," ujar beliau.
Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers