Pemuda PH rancang laporan polis besar-besaran terhadap SPR

Pemuda PH rancang laporan polis besar-besaran terhadap SPR

Pemuda Amanah Nasional bersama Pemuda Pakatan Harapan akan membuat laporan polis besar-besaran esok bagi menggesa siasatan terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang tidak lagi mengedarkan Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) kepada parti politik.
Tindakan ini ekoran tidak berpuas hati terhadap sikap pengerusi SPR Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah yang terus membisu sejak demonstrasi yang diadakan seminggu yang lalu.
Pengarah pilihan raya Pemuda Amanah Nasional Muhammad Taqiuddin Cheman berkata, pihaknya kesal terhadap sikap SPR yang seolah-olah sanggup diperkudakan parti pemerintah walaupun seharusnya badan itu bebas.
"SPR adalah badan kerajaan yang sepatutnya bebas dan bertanggungjawab memelihara, menyelia dan mengekalkan proses demokrasi Malaysia melalui pilihan raya yang adil.
"Namun, tindakan memberhentikan pengagihan RDPT dalam bentuk buku dan cakera padat jelas menunjukkan bahawa wujud agenda untuk menyukarkan parti-parti politik pembangkang untuk mendapat akses kepada maklumat tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam perhimpunan 23 Mei lalu, Pemuda dan Wanita Pakatan Harapan bertindak mengunci pintu pagar ibu pejabat SPR di Putrajaya selepas badan itu didakwa enggan menerima bantahan mereka.
Taqiuddin juga mempersoal SPR yang menyukarkan akses kepada maklumat tersebut.
Apatah lagi, selama ini parti-parti politik pembangkang giat menjadi agen semak dan imbang kepada kesahihan maklumat pendaftar.
Persoalan timbul, mengapa hari ini akses kepada maklumat itu disukarkan oleh SPR? Apakah SPR tidak mahu pilihan raya berjalan dengan bersih?" soalnya.

No comments: