Wednesday, May 24, 2017

Pas beri talian hayat kepada Umno?


Faiz Fadzil forumFaiz Fadzil forumPas sebenarnya memberi talian hayat kepada Umno yang pada masa ini nyawa-nyawa ikan ekoran tidak lagi popular dalam kalangan rakyat, tegas Timbalan Ketua Pemuda Amanah Nasional, Faiz Fadzil.
Ujarnya, Pas seolah-olah tidak memahami ungkapan 'musuh kepada musuh aku adalah rakanku' apabila secara jelas berada di pihak Umno yang terhimpit dengan pergolakan politik dalaman parti dan urus tadbir negara yang korup dan zalim terhadap rakyat. 
Beliau berpendapat demikian ketika mengulas penafian Ketua Pemuda Pas, Khalil Abdul Hadi bahawa partinya bukan talian hayat bagi Umno dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ketika diwawancara akhbar tempatan baru-baru ini.
Pas, jelasnya, tidak mencerminkan kematangan dalam politik dan tidak berpijak di bumi yang nyata memandangkan perkembangan mutakhir menyaksikan Pas tidak lagi lantang menentang Umno-BN tetapi pada masa sama galak menyerang Pakatan Harapan.
"Tambahan pula, pengumuman Presiden Umno Najib Razak dalam sambutan 71 tahun bahawa Pas telah memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR.
"Begitu gembiranya Umno dengan tindakan tersebut dan seolah-olah ia sebuah hadiah ulang tahun paling bermakna dalam sejarah Umno. 
"Pas juga tidak lagi bersuara menentang penyelewengan dan kezaliman kerajaan pimpinan Najib Razak seperti tidak mengundi menolak Bajet 2017, GST (cukai barang dan perkhidmatan) dan Rang-rang Undang-undang Pencegahan Keganasan (POTA) 2015. 
"Apatah lagi dalam isu korupsi terutama 1MDB (1Malaysia Development Berhad), Pas terus menyepi malah menyokong Najib apabila terdapat kenyataan pemimpin kanan Pas bahawa dakwaan terhadap MO1 (Malaysian Official 1) memerlukan empat saksi," hujahnya dalam satu kenyataan.
Khalil yang juga anak Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang antara lain berkata, pihaknya tidak mahu rakyat berpolitik sepanjang masa sehingga merugikan rakyat dan negara.
Menyentuh tentang PRU14, beliau memberitahu blok ketiga yang ditubuhkan Pas melalui Gagasan Sejahtera akan memberi tumpuan di kawasan majoriti pengundi Melayu yang dianggapnya sebagai kekuatan Pas.
Mengulas lanjut, Faiz menyifatkan Gagasan Sejahtera begitu 'jelas dengan suluhan yang terang' membuktikan Pas sebagai talian hayat bagi Umno kerana menjadi penganggu kepada undi rakyat yang mahu menolak Umno-BN.
"Apatah lagi kenyataan Presiden Pas yang memberikan pilihan undi sama ada Pas atau Umno tanpa menyebut Pakatan Harapan. Bahkan, kedua-dua parti itu sekarang sehaluan memainkan sentimen perkauman dan agama bagi mengalih isu korupsi dan ekonomi yang dihadapi Najib dan Umno.
"Jelas pilihan yang ada dalam pemikiran Pas adalah Umno," tegasnya serta berpandangan Pas menyelamatkan kesalahan Najib dengan menggunakan naratif agama walaupun terdapat kes prima facie. 
Menurut Faiz, Pas turut menggunakan hubungan kerajaan dengan kerajaan (G2G) antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri sebagai alasan untuk mengaburi hati ahli dan penyokong Pas bahawa kerjasama yang wujud adalah untuk kebaikan rakyat.
"Sebaliknya, hubungan antara kerajaan tidak harus dijadikan halangan untuk mana-mana parti politik menentang kemungkaran dan kezaliman Umno-BN," tambahnya lagi.
Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers