Monday, May 8, 2017

MBPP keluarkan statistik sangkal dakwaan diskriminasi kaum


GEORGE TOWN, 8 MEI: Statistik yang dikeluarkan melibatkan serbuan penguatkuasaan undang-undang Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menunjukkan tidak wujud diskriminasi kaum kononnya diamalkan pegawai penguatkuasa agensi itu.
Dalam senarai Statistik Tindakan Penguatkuasaan MBPP bermula bulan Januari hingga April 2017, sebanyak 305 tindakan telah dikeluarkan terhadap premis yang melanggar peraturan.
Enam jenis kesalahan yang disenaraikan dalam statistik itu ialah penjaja tanpa lesen, kebersihan premis makanan, perobohan binaan tambahan, halangan, hotel tanpa lesen dan pusat hiburan tanpa lesen.
Daripada 305 kesalahan tersebut, sebanyak 103 tindakan dilakukan ke atas premis milik kaum Melayu (34 peratus), 158 Cina (52 peratus), 31 India (10 peratus) dan 13 lain-lain (4 peratus).
Bagi kesalahan menjaja tanpa lesen, sebanyak 53 tindakan dibuat ke atas penjaja berketurunan Melayu, 40 penjaja Cina, 14 kaum India dan dua dari kaum lain.
Tindakan bagi kesalahan kebersihan premis makanan pula menunjukkan sebanyak tiga tindakan ke atas premis Melayu, tujuh premis Cina dan satu premis milik kaum India.
Perobohan binaan tambahan telah dijalankan bagi lima premis Melayu, 26 premis Cina dan satu premis India.
Manakala sebanyak satu tindakan dilakukan terhadap hotel tanpa lesen milik Melayu dan lima milik Cina.
Bagi kesalahan halangan, MBPP telah bertindak kepada 41 premis Melayu, 76 premis Cina, 15 premis India dan 11 premis milik kaum-kaum lain.
Kesalahan pusat hiburan tanpa lesen pula mencatatkan empat premis milik kaum Cina dikenakan tindakan.
MBPP mengeluarkan statistik ini bagi memberi gambaran sebenar terhadap dakwaan kononnya wujud diskriminasi kaum terhadap tindakan dan serbuan yang dijalankan agensi itu.
Ia ekoran kejadian rampasan lori pihak berkuasa tempatan oleh dua pekerja gerai makanan laut yang menjadi tular setelah mereka merakamkan sendiri kejadian itu.
Dalam rakaman itu, pegawai-pegawai MBPP yang menjalankan tugas didakwa tidak menganggu premis peniaga Cina atau India sebaliknya mengenakan tindakan ke atas perniagaan milik orang Melayu. –Roketkini.com
Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers