Monday, May 29, 2017

Kunjungan Lim Kit Siang, Pak Samad curi tumpuan pengunjung bazar Ramadan



HULU LANGAT, 29 MEI: Sekitar jam 5.30 petang, bazar Ramadan pekan kecil Batu 18 di sini riuh-rendah dan meriah dengan pengunjung membeli juadah berbuka puasa.
Gerai-gerai sederhana yang dibuka sepanjang kiri dan kanan jalan, suara peniaga melaung-laung, rengekan anak-anak kecil, bunyi-bunyi ‘pasar’ seperti ini sering mengembalikan ingatan saya kepada kampung halaman.
Kedudukan dalam lingkungan 20 kilometer dari Kuala Lumpur tidak menjadikan tempat ini kurang penting. Ia tetap menjadi lubuk warga mencari rezeki yang halal – begitu juga dengan pengunjung yang mencari lauk pauk dan kuih-muih istimewa setahun sekali.
Petang itu juga, kemeriahan bazar Ramadan itu menjadi-jadi apabila menerima kunjungan dua tetamu istimewa iaitu Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dan Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said.
Mereka berjaya mencuri tumpuan umum sebaik sahaja turun dari kenderaan. Maklumlah, mereka merupakan sosok yang sering dibual-bualkan di televisyen dan media cetak.
Saya melihat ada pengunjung yang teruja, ada yang tersenyum, ada yang berbisik-bisik dan ada juga seperti terkejut.
Program Jelajah Desa anjuran DAP Dusun Tua yang dipimpin oleh Young Syefura Othman ini sedikit sebanyak, memberi ruang kepada masyarakat untuk mengenali lebih dekat dua tokoh yang sering disebut-sebutkan itu.
Tambahan pula, nama Lim Kit siang dan DAP semakin laris apabila Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa baru sahaja melancarkan buku fitnah dan rasis memburuk-burukkan DAP dan peribadinya.
Sambil berjalan melawat gerai-gerai juadah, mereka disapa pengunjung yang ingin berswafoto, mengambil gambar malah ada yang sempat bertegur sapa. Ketika Lim Kit Siang singgah di gerai untuk membeli lemang, beliau turut dibelanja rendang oleh peniaga di situ.
Inilah suasana damai dan harmoni yang tidak dibuat-buat oleh warga. Penerimaan baik masyarakat di sini cukup memberi gambaran jelas bahawa kita menolak budaya politik kebencian.
Rakyat Malaysia wajar berasa sedih dan kesal apabila ada pemimpn utama negara ini yang ‘seronok’ menangguk di air yang keruh dengan menggalakkan politik kebencian dikalangan rakyat pelbagai kaum di Malaysia.
“Adakah pemimpin UMNO ini kebal?” soal Kit siang dalam satu kenyataannya baru-baru ini mengulas pelancaran buku rasis Annuar Musa itu.
Mereka sedaya upaya cuba menggambarkan DAP dan pemimpinnya konon sebagai parti perkauman sedangkan, DAP sentiasa konsisten dan tegas mengangkat isu dan kepentingan nasional membongkar salah guna kuasa malah pentadbiran kerajaan Pulau Pinang khususnya jauh lebih baik dan telus berbanding Barisan Nasional (BN).
Maka persoalannya, apa masa depan dan hala tuju masyarakat dan negara apabila pemimpin-pemimpinnya korup dan hilang semangat keamanan dan cintakan tanah air apabila mengapi-apikan sentimen perkauman? Lebih parah lagi apabila terpaksa ‘mengkambing hitamkan’ DAP untuk mengalihkan perhatian rakyat terhadap segala caca-marba ketempangan pengurusan ekonomi kerajaan BN?
Sudah tiba masanya mentaliti perkauman sempit, jumud, ego dan semangat perpuakan yang dicetuskan oleh sebahagian pemimpin tidak bertanggungjawab perlu dihentikan sebelum melarat.
Bagi saya, suasana mesra dan meriah menyambut kunjungan Lim Kit Siang dan Pak Samad di bazar Ramadan Batu 18 petang semalam hanya sebahagian kecil dari bukti kukuh bahawa rakyat negara ini semakin sedar pemimpin negara perlu keluar dari belenggu politik kebencian dan bergerak ke hadapan.
Sampai bilakah kita akan terus dikejar bayang-bayang, hantu perkauman dan agama? –
Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers