Hadi didakwa tidak puas hati dengan Iskandar


Ir Izham Hashim AmanahIr Izham Hashim Amanah
Pengguguran Datuk Iskandar Abdul Samad daripada jawatannya sebagai Pesuruhjaya Pas Selangor memberi isyarat jelas tentang pendirian kepimpinan tertinggi parti tersebut, kata Pengerusi Amanah Selangor, Ir Izham Hashim.
Menurutnya, pengumuman Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan semalam berkenaan status Iskandar itu menggambarkan rasa tidak puas hati presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
"Walau apa sekali pun alasan Takiyuddin berhubung pertukaran PJ (Pesuruhjaya) Pas Selangor, kita tidak dapat mengelakkan bahawa langkah itu membayangkan ketidakpuasan Presiden Pas ke atas cara YB Iskandar mengendalikan hubungan dengan Pakatan Harapan di Selangor," ujarnya.
Pada sidang media semalam, Takiyuddin mengatakan Iskandar 'dinaikkan pangkat' kerana masih kekal sebagai Naib Presiden Pas walaupun Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Cempaka tersebut digugurkan daripada jawatan nombor satu Pas di peringkat negeri itu.
Untuk rekod, jawatan Naib Presiden Pas dipilih melalui muktamar manakala jawatan bagi Pesuruhjaya negeri ditentukan oleh presiden parti.
Mengulas lanjut, Izham berkata, keputusan Pas 'menendang' Iskandar itu sekaligus mencerminkan sikap Pas untuk tidak bersama-sama dengan Amanah, DAP, PKR dan Bersatu pada pilihan raya akan datang.
"Pengguguran Iskandar juga menggambarkan Pas sudah hampir pasti tidak akan bersama Pakatan Harapan pada PRU14 kelak.
"PJ yang baharu dilihat akan memastikan calon-calon 'all president's men' dalam pilihan raya yang semakin hampir," tegasnya lagi ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.
Iskandar dilihat masih lagi menyokong kepimpinan kerajaan negeri Selangor walaupun Muktamar Tahunan Pas ke-63 yang berakhir 1 Mei lalu memutuskan untuk menamatkan hubungan politik dengan PKR.
Menyentuh sikap Pas yang lebih mesra Umno pada masa sama menyerang Pakatan Harapan, Izham berkata, Amanah dan Pakatan Harapan bersedia menghadapi BN dalam PRU14 walaupun akan diadakan pada masa terdekat.
"Najib sememangnya dijangka akan menabur jutaan ringgit pada pilihan raya nanti bagi menjamin jangka hayat politiknya.
"Keyakinan Najib bahawa 'cash is king' akan diguna secara maksimum. Apa yang kita saksikan janji-janji sumbangan sehari dua ini akan ditingkatkan lagi menjelang PRU kali ini," tambahnya lagi.

No comments: