Bekas penasihat undang-undang Pas umum sertai Amanah


Hisham Fauzi...saya secara terbuka menyatakan saya juga masuk AmanahHisham Fauzi...saya secara terbuka menyatakan saya juga masuk Amanah
Tampil berkongsikan rasa kecewanya terhadap Pas, peguam Hisham Fauzi memberitahu tiga daripada enam Ahli Jawatankuasa Teknikal Pelaksanaan Syariah Persekutuan telah menyertai Amanah.
Hisham Fauzi Hisham FauziBekas penasihat undang-undang Pas itu tidak dapat lagi menerima sikap Pas pada masa ini yang gagal bertindak menyuarakan kesempitan ekonomi rakyat.
"Saya salah seorang enam daripada Ahli Jawatankuasa Teknikal Pelaksanaan Syariah Persekutuan. Kita dalam jawatankuasa membincangkan bagaimana untuk melaksanakan syariah di Malaysia.
"Tapi daripada enam itu, tiga sudah masuk Amanah. Dr Zulkarnain, peguam Tarmizi dan malam ini saya secara terbuka menyatakan saya juga masuk Amanah," ujarnya dalam Ceramah Pakatan Harapan di Pengkalan Chepa, 25 Mei lalu.
Beliau menyifatkan pemimpin Pas termasuk ahli parlimen parti itu hanya seperti "pasu bunga" kerana tidak menunjukkan pendirian jelas membela rakyat dan masa depan negara.
"Negara kita sedang bermasalah, sikap ulamak dan parti Islam macam mana? Apa yang menyebabkan saya sedih dengan Pas, bila Najib bentang belanjawan 2017.
"Bila pembangkang-pembangkang lain membantah, undi tolak bajet tetapi wakil-wakil Pas berkecuali sedangkan kita mahu tunjukkan pada Najib yang kita marah pada BN.
"Tiba-tiba kita pergi Parlimen jadi pasu bunga, pergi duduk saja. Kita dibayar gaji berbelas ribu sebulan, pergi ke parlimen sepatutnya bawa jerih perih, tangis rakyat cakap pada Najib, rakyat susah. Nak undi tolak bajet Najib pun tak berani," bidasnya.
Turut mengecewakan Timbalan Pengerusi Biro Undang-undang Amanah (Kanun) itu apabila Pas enggan turut serta dalam desakan pilihan raya bersih dan adil.
"Apabila dihimpun gerakan Selamatkan Malaysia, kutip sejuta tandatangan kepada Agong, nyatakan bantahan kepada Najib, Pas juga berkecuali.
"Kita bantah pilihan raya yang berat sebelah, Bersih 5 mengadakan bantahan sikap tegas kepada kemungkaran tetapi sekali lagi Pas berkecuali. Ini adalah sikap mengecewakan," jelas bekas timbalan pengerusi lajnah undang-undang Pas Pusat itu.
Mengulas isu pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah), Hisham berkata, usul persendirian yang dibawa oleh Ahli Parlimen Marang merangkap Presiden Pas itu tidak menuruti pendekatan yang sewajarnya.
"Apa yang Marang (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) buat pada sidang lepas, baca tajuk baru. Sebelum ini, tiga kali tangguh. Kalau Speaker kata boleh bahas, baru boleh bahas pada sidang akan datang.
"Kalau tak bahas, undi, bila lepas undi, pada masa itu, usul tersebut akan diberi kepada menteri yang berkenaan iaitu dalam kes ini Jamil Khir.
"Usul Marang akan diberi kepada menteri berkenaan sama ada undi untuk pinda, baiki, tambah atau potong. Serah pada menteri juga, peguam negara buat draf baru," jelasnya.
Beliau memberitahu terdapat 18 anggota jawatankuasa teknikal persekutuan yang dianggotainya termasuk wakil kerajaan pusat, penjara, polis, peguam negara, mahkamah dan Parlimen.
"Kita kena menghadap Raja-raja Melayu terlebih dahulu sebab bidang kuasa mahkamah syariah ini duduk bawah majlis raja-raja. Raja tandatangan, bentang di parlimen, tiada ahli parlimen Melayu bantah.
"Ini kaedah sebenar. Bila Pas bawa kucar-kacir habis. Himpunan (di Padang Merbok di ibu negara) bukan perkara yang dipersetujui (jawatankuasa)," ujarnya.
Sehubungan itu, Hisham mengajak rakyat terus menolak Umno-BN pada pilihan raya akan datang selain menggesa Pas berterus-terang menyatakan pendirian sebenar mereka.
"Kita mahu parti yang jelas sikapnya kepada Umno-BN. Kalau musuh, katakan musuh. Kalau duduk dalam, duduk dalam. Kalau duduk luar, duduk luar.
"Getah harga sekarang berapa? Kena fikir masalah rakyat. Masa depan negara nak letak di mana. Saya merayu kita istiqamah menentang Umno-BN," tambahnya lagi.

No comments: