SABARLAH DULU WEHHH...MASUK BN DULU KALAU NAK SANGAT JAWATAN DALAM KERAJAAN!!



Menjadikan petikan kata-kata Hadi Awang sendiri yang pernah mengucapkan mahu menjadi penasihat kepada pemerintah, seorang perwakilan di Muktamar Pas mencadangkan agar Presiden Pas itu dilantik sebagai penasihat kepada Yang Dipertuan Agong.

"Tuanku pakai jubah pergi masjid, agak-agak siapa yang sesuai jadi penasihat? Ulama yang paling sesuai. Jadi saya mahu petik ucapan presiden, "kita bukan nak ke Putrajaya sangat, yang kita nak adalah menjadi penasihat kepada ulil amri."

"Siapa pemerintah nombor satu negara kita, kalau bukan Yang Dipertuan Agong.

"Jadi,  penasihat yang paling sesuai kepada baginda ialah presiden kita, pemimpin ulama nombor dua di dunia," kata seorang perwakilan dari Johor di Muktamar Pas yang sedang berlangsung di Kedah sambil disambut laungan takbir para hadirin.

Nampaknya,  sejak berbaik-baik dengan Najib Razak, UMNO dan BN, Pas sudah tidak sabar-sabar lagi mahu jawatan dan kedudukan dalam kerajaan. Mereka bagai tidak mampu lagi menyembunyikan hasrat terpendam itu.

Jawatan yang diminta pula bukan alang-alang - penasihat kepada Yang Dipertuan Agong.

Tetapi, sedarkah Pas jawatan sebagai penasihat Yang Dipertuan Agong, kalau pun jawatan itu wujud atau mahu diwujudkan, ia adalah di bawah bidang kuasa kerajaan yang sedang berkuasa untuk menentukan calonnya.

Jalan paling mudah untuk membolehkan Hadi memperolehi jawatan itu ialah dengan Pas menyertai BN terlebih dahulu dan sesegera yang boleh.

Walaupun mungkin Najib boleh melantik sesiapa saja yang disukainya untuk memegang apa jua jawatan dalam kerajaan, namun dengan membawa Pas menyertai BN atau Hadi berada dalam parti yang sudah menjadi komponen BN, ia tentu memudahkan lagi proses ke arah itu.

Selagi berada di luar BN, apatah lagi sering tidak menentu pendirian, ditambah juga Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man pula kerap tidak bersetuju dengan kerajaan, pastinya agak sukar bagi Najib untuk melantik Hadi memegang apa-apa jawatan dalam kerajaan.

Namun, dengan membawa masuk Pas ke dalam BN - kata orang Indonesia, segalanya bisa beres!

Nampaknya juga, tidak perlulah lagi Pas bersusah payah bertanding dalam pilihanraya umum akan datang kerana dapat jadi penasihat pun sudah memadai mereka.

Lebih baiklah Pas lupakan saja hasrat mahu bertanding, buang masa dan bazir tenaga saja dibuatnya kalau menduduki Putrajaya bukan lagi impian mereka.

Masuk saja BN, lepas itu semua pemimpin Pas akan boleh jadi penasihat belaka - daripada penasihat kepada Perdana Menteri, penasihat menteri-menteri dan juga penasihat kepada semua pengerusi GLC seperti Tabung Haji, Felda dan sebagainya.

Tidakkah ia juga suatu bentuk perjuangan? (ShahbudinHusin 30/04/2017)

No comments: