Pensiangan: ‘Lembu pun dapat air bersih, kami orang kampung bila lagi?’



PENSIANGAN, 23 MAC: ‘Politik bekalan air’ mungkin semakin jarang didengar pada waktu ini tetapi tidak bagi rata-rata kawasan luar bandar di Sabah yang masih jauh ketinggalan menikmati kemudahan itu dengan sempurna.
Inilah yang sedang melanda sekitar 7,000 penduduk di Mukim Transpagalan dekat sini meliputi 17 kampung yang masih menunggu janji hampir 10 tahun lalu untuk mendapatkan bekalan air bersih.
Lebih menghairankan, meskipun jaraknya sekitar 10 kilometer sahaja dari Pekan Keningau, penduduk terus dihantui masalah bekalan air bersih lebih-lebih lagi ketika musim panas.
Apa yang berlaku, penduduk terpaksa berhadapan dengan kemelut bekalan air jika tiada hujan atau tibanya musim kemarau lebih daripada lima hari.
Berdasarkan tinjauan pasukan DAP Pensiangan ke kawasan terbabit, rata-rata penduduk yang ditemui meluahkan rasa kecewa terhadap janji yang pernah ditabur Ahli Parlimen Pensiangan sendiri, Tan Sri Joseph Kurup.
“Saya masih ingat ketika sambutan Perayaan Pesta Menuai di Tapak Tamu Arked sejurus selepas pilihan raya umum ke 12 pada tahun 2009, Tan Sri Joseph Kurup mengumumkan bahawa beliau akan memastikan Mukim Transpagalan akan menerima bekalan air bersih pada tahun itu juga.
“Tapi sehingga ke hari ini, janji itu tidak ditunaikan,” kata David, salah seorang penduduk dari Kampung Magatang.
Menurutnya, sehingga saat ini, penduduk tidak pernah mendapat bantuan dari BN-PBRS yang mewakili kawasan itu.
“Kami sendiri mengurus dan mencari dana untuk memastikan bekalan air dapat disalurkan ke rumah masing- asing,” ujarnya.
Menurut Kelly, penduduk dari Kampung Panoi, saluran paip air graviti yang digunakan pada waktu ini adalah saluran air yang telah dipasang sekitar 20 tahun lalu.
“Saluran paip graviti yang ada sekarang dibina semasa pentadbiran PBS lagi. Sehingga kini memang kampung kami tidak pernah menerima bantuan daripada kerajaan.
“Air kini semakin kecil. Kami terpaksa menunggu giliran ketika ingin menggunakan air. Malahan permohonan bantuan untuk paip graviti kami tidak diendahkan. Jawapan yang kami terima tunggu selesai pilihan raya,” katanya yang juga pemilik sebuah kantin di sini dengan nada kecewa.
Doreen dari Kampung Ambual pula menganggap segala janji yang ditabur selama ini hanyalah janji kosong semata mata.
“Saya yakin janji-janji Kurup ini hanya janji air liur. Sudah lebih enam kali projek graviti yang diuruskan oleh kerajaan tergendala begitu saja.
“Sehingga kini kami sendiri yang menguruskan bekalan air bersih kami sendiri. Di kampung kami ini, sungai sudah tercemar oleh sisa buangan dari kilang yang beroperasi berhampiran kawasan tadahan air kami.
“Lihat sendirilah. Berapa keruh air sungai kami biarpun selepas hujan! Tapi kami tiada pilihan. Jelas Kurup mengabaikan kebajikan penduduk di Mukim ini,” keluhnya.
Sumber air tercemar sisa kimia
Dakwaan Doreen itu terbukti apabila pasukan DAP Pensiangan membuat tinjauan terhadap keadaan sungai tersebut yang jelas keruh dan sedikit berminyak.
Perkara ini terus diajukan kepada salah seorang pegawai Jabatan Paip dan Saliran Daerah Keningau.
Menurut beliau yang tidak mahu dikenali, air sungai tersebut memang telah tercemar dengan sisa buangan kimia dan tidak selamat untuk digunakan malah perkara itu telahpun dilaporkan kepada Ahli Parlimen Pensiangan, Tan Sri Joseph Kurup sendiri sebelum ini namun masalah air di Transpagalan masih belum selesai.
“Yang menjadi kemusykilan buat kami dan penduduk Transpagalan sendiri, bagaimana taman perumahan yang berhampiran (Taman Bersatu) dan ladang ternakan sapi (lembu) yang terletak di Kampung Bomboi sudah mendapat bekalan air bersih?
“Jika kerajaan mempunyai rancangan penyelesaian air secara berperingkat sekalipun, tidak mungkin mengambil masa berpenggal-penggal lamanya sedangkan sehingga kini tiada tanda – tanda sebarang usaha dilakukan,” keluh Doreen lagi.
Sebelum ini jelas Doreen, penduduk merasa gembira apabila belihat beberapa batang paip di letakkan di sepanjang jalan mukim tersebut.
“Rupa-rupanya paip-paip itu adalah saluran paip air untuk kegunaan penduduk di perumahan Taman Bersatu.
“Bayangkan bagaimana perasaan kami? Apalagi bila mengetahui sapi di ladang ternakan di atas bukit kampung Bomboi minum air paip!” katanya lagi. – Roketkini.com

No comments: