Sunday, March 19, 2017

Menteri UMNO jangan bohong, DAP bela rakyat Pulau Pinang


Ketika merasmikan satu program pergigian di Masjid Negara, Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya telah mendakwa bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang khususnya DAP “tidak membantu golongan miskin dalam bandar menyebabkan jumlah mereka semakin bertambah.”

Kenyataan sebegini ternyata ketandusan fakta, lagi-lagi kalau keluar daripada seorang menteri, hanya menampakkan beliau sebagai kurang boleh dipercayai. Terang lagi bersuluh, beliau cuba mereka cerita bagi membuat persediaan untuk pilihan raya yang dijangka akan tiba tidak lama lagi. Rakyat Malaysia sebenarnya sudah biasa dan jelak dengan momokan seperti ini.

Sebagai seorang anggota Parlimen di Pulau Pinang, sudah tentu Dr. Hilmy sudah menyaksikan dengan mata sendiri bagaimana kerajaan negeri telah menambah baik mutu kehidupan rakyat negeri ini.

Sejak 2008, kerajaan negeri di bawah pimpinan DAP telah mengilhamkan pelbagai jenis program kebajikan untuk membantu golongan miskin, tua, ibu tunggal, pelajar dan kumpulan-kumpulan lain. Walaupun berdepan dengan kegawatan ekonomi, pada tahun 2016, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah berjanji akan memperuntukkan RM61 juta untuk meneruskan program-program kebajikan tersebut.

Agenda Ekonomi Saksama, salah satu program yang dizahirkan kerajaan negeri, bertujuan meringankan beban kewangan keluarga miskin di mana kerajaan negeri akan menambah mana-mana yang kurang bagi pendapatan seisi keluarga tiap-tiap bulan sehingga genap RM790.

Bagi memastikan keberkesanan program ini, beberapa syarat telah diletakkan di mana para penerima perlu memberi perhatian kepada faktor-faktor kesihatan dan terutama sekali, pendidikan anak-anak mereka. Syarat-syarat ini penting bagi memastikan tiadanya salah guna kuasa dan sebarang penyelewengan.

Sehingga ke akhir tahun 2016, seramai 1375 isi keluarga telah merasai manfaat program – 81 peratus daripada penerima terdiri daripada orang Melayu, 11.35 peratus daripada orang India, dan 7.05 peratus orang Cina.

Dr. Hilmy juga menyatakan bahawa ramai pengundi Cina kini kian tidak puas hati dan hilang kepercayaan kepada kerajaan negeri kerana isu-isu ekonomi. Mungkin beliau merujuk kepada penutupan syarikat Amerika Syarikat, Rubicon Sapphire Technology (M) Sdn Bhd di mana 6 ribu pekerja kehilangan pekerjaan.

Walaupun Dr. Hilmy cuba mengelirukan rakyat Malaysia, hakikatnya, Pulau Pinang terus mendapat kepercayaan dan keyakinan para pelabur tempatan mahupun asing. Ini ternyata apabila dalam masa 7 tahun (dari 2008 ke 2014), jumlah pelaburan langsung telah meningkat sebanyak 93 peratus kepada RM48.2 bilion berbanding RM24.9 bilion dari tempoh 2001 ke 2007 – semasa pentadbiran Barisan Nasional. Pada suku pertama tahun 2015, Pulau Pinang telah berjaya menarik sebanyak RM4.33 bilion pelaburan, manakala pada suku pertama tahun 2016.

Sebagai seorang menteri Persekutuan, Dr. Hilmy harus memahami prinsip asas ekonomi iaitu permintaan dan penawaran. Penutupan kilang-kilang seperti Rubicon Sapphire Technology (M) Sdn Bhd sebenarnya dipengaruhi faktor-faktor seperti kos penghasilan dan kos buruh, yang sebenarnya amat dipengaruhi oleh dasar kerajaan Persekutuan yang diterajui Barisan Nasional.

Selama ini, DAP konsisten dalam mengamalkan dasar kerajaan yang berpegang kepada CAT iaitu cekap, akauntabiliti dan telus. Tiada mana-mana kaum yang ditinggalkan atau dianaktirikan di Pulau Pinang. Hujah-hujah tidak masuk akal yang keluar dari mulut pemimpin-pemimpin Barisan Nasional sebenarnya merupakan usaha untuk menutup keadaan seadanya, di mana mereka mengaut keuntungan besar daripada amalan rasuah dan kronisme.

Sejak mengambil alih Kerajaan Negeri Pulau Pinang, DAP telah terbukti lebih membantu rakyat dan mereka yang berada dalam keperluan, tanpa mengambil kira bangsa atau agama. Barisan Nasional pula, masih terperangkap dalam politik yang menjaja ketakutan. Sekiranya Barisan Nasional ingin dilihat prihatin kepada rakyat, maka sudah tiba masanya mereka melakar dasar yang memanfaatkan rakyat dalam jangka masa panjang.
*Syerleena Abdul Rashid adalah Penolong Setiausaha Publisiti Negeri DAP Pulau Pinang merangkap Penolong Setiausaha Publisiti DAP Wanita Kebangsaan dan Ahli Majlis di Majlis Bandaraya Pulau Pinang
Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers