Sunday, March 26, 2017

Mengapa legasi Nik Aziz disekat?



Raja Bahrin ShahRaja Bahrin Shah
Saya membaca dengan tekun berita Keluarga Almarhum Tok Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat, yang kita sayangi, membuat laporan polis kerana kononnya ada pihak 'menggunakan' nama Almarhum untuk satu majlis ilmu akan datang.Saya difahamkan majlis tersebut adalah bagi mengenang jasa serta sumbangan Almarhum kepada masyarakat serta Negara. 
Di sini saya ingin membuat satu pengakuan yang mungkin menyebabkan diri saya sendiri atau pihak satu lagi yang akan dikenakan juga laporan polis oleh keluarga Almarhum. Saya reda jika ia menjaga nama baik Almarhum yang amat saya hormati dan sayangi.
Malam mangkatnya Almarhum Tok Guru pada 12 Februari 2015, saya terus ke rumah Tok Guru di Pulau Melaka untuk menziarahi jenazah Almarhum. Saya diselubungi kesedihan kerana Tok Guru dengan perwatakannya yang lembut tetapi tegas, telah menjadi dorongan saya menyertai perjuangan parti Islam sejak 36 tahun dahulu.
Saya juga telah menulis satu artikel dalam facebook tentang jasa dan kenangan Almarhum Tok Guru.
Seminggu selepas itu setelah selesai solat Jumaat, saya telah diminta berjumpa Yang Dipertua Pas Kawasan Kuala Terengganu untuk menjawab kenapa saya menulis artikel mengenang jasa sumbangan Almarhum Tok Guru Nik Aziz!
Walaupun hairan dengan soalan aneh tersebut, saya menjawab sebagai ahli parlimen, saya berpendapat menjadi kewajipan saya merakam penghargaan tentang besar dan betapa luasnya sumbangan Almarhum Tok Guru kepada seluruh umat Islam dan juga bukan Islam di seluruh dunia.
Persoalannya adakah saya bersalah menggunakan' nama Almarhum atau pihak yang menegur saya berbuat demikian yang bersalah?
Saya mohon pihak berkenaan membuat penilaian adakah saya atau pihak yang menegur penulisan saya yang bersalah dalam isu ini? Saya rela dikenakan laporan polis juga jika ahli keluarga Almarhum berhasrat untuk berbuat demikian, seperti laporan yang baru di buat terhadap penganjur Majlis Ilmu Tok Guru. Penulisan saya juga tentang ilmu Tok Guru.
Keluarga Almarhum Datuk Harun Din tidak pula membuat laporan polis apabila satu majlis ilmu tentang beliau diadakan baru-baru ini. Di majlis tersebut ada pihak tertentu, dari keluarga Nik Aziz sendiri, yang mengatakan cara pendekatan Almarhum Datuk Harun Din, yang menjadi Mursyidul Am selama satu setengah tahun, telah meletak perjuangan Pas di jalan yang betul.
Apakah ini bermakna Almarhum Tok Guru Nik Aziz yang memegang jawatan Mursridul Am lebih dari 20 tahun telah gagal berbuat demikian? Saya berpendapat kenyataan yang telah dibuat seolah-olah menidakkan sumbangan dan ketokohan Nik Aziz, lebih serius daripada menganjurkan majlis ilmu yang belum lagi terbukti kelemahannya.
Tidakkah keluarga Almarhum Nik Aziz memandang serius mereka yang menggunakan ahli keluarga sendiri menidakkan sumbangan Nik Aziz kepada Pas di majlis ilmu Harun Din yang lepas?
Bukankah Islam menggalakkan perkembangan dan percambahan ilmu dari tokoh-tokoh agama? Kalau ini akan menjadi trend semasa apabila ilmu seseorang tokoh menjadi hak eklusif keluarganya atau hak golongan tertentu sahaja, di manakah letak inklusiviti Islam sebagai agama yang menggalakkan perbincangan secara ilmiah dan akademik pemikiran para ilmuan serta tokoh agama?
Biarlah orang ramai yang membuat kesimpulan sepatutnya setelah mendengar penghujahan majlis ilmu tersebut. Pengaruh Tok Guru Nik Aziz terlalu besar dan luas untuk disekat orang ramai menikmati majlis ilmu tentang sumbangan dan ketokohan Almarhum.
Sikap dan trend tertutup menyekat orang ramai berhujah serta berbahas secara ilmiah merupakan gejala tidak sihat mirip Kerajaan Barisan Nasional Umno. Sikap keterbukaan dan inklusif Almarhum Nik Aziz bertentangan dengan sikap ini.
Sikap Nik Aziz telah membuat orang ramai menghormati, menyayangi dan menyanjunginya Almarhum. Laporan polis adalah cara yang tidak sihat untuk menyekat perkembangan dan penerusan legasi Nik Aziz. Ilmu serta legasi Nik Aziz adalah hak untuk semua tidak kira agama dan bangsa.
Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers