Sunday, March 19, 2017

Ke mana agaknya arah tuju PAS?



Selepas bertelagah dengan PH, Pas setuju BN pula bentang RUU 355



Saya dapat membayangkan bagaimana rentan dan berkecamuknya hati penyokong tegar PAS apabila dikhabarkan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sedang atau mungkin telah membahagi-bahagikan negeri untuk diperintah antara parti Islam itu dan seteru (lama?) iaitu UMNO yang kini di bawah pemerintahan Datuk Seri Najib Razak.
Dalam satu video yang tular baru-baru ini, Hadi Awang di hadapan podium dengan penuh yakin dan ‘tawaduk’ berkata:
“Terengganu, Kelantan, Kedah, Perak, Selangor. Biar PAS memimpin. Negeri lain UMNO nak lagi biarkan dia. Biarkan dia,” ujar Hadi Awang yang ketika itu berserban dan berjubah putih dalam majlis pelancaran jentera pilihan raya PAS di Alor Limbat dekat Marang.
Mungkin hadirin yang mendengar ucapan Hadi Awang ketika itu ada yang tersedak atau tercekik kuih, atau terus membatalkan niat untuk meneguk air atau tak kurang juga yang mungkin menarik nafas lega memanjatkan syukur ke hadrat ilahi atas kurnian rezeki kerana impian untuk menyatukan umat Islam-Melayu akhirnya menjadi kenyataan.
Bagi yang percaya dan menyokong Hadi Awang, kisah penyatuan PAS-UMNO ini seolah-olah syurga dunia yang tidak boleh ditepis lagi, di hujung mata terlihat buah anggur melambai-lambai.
Dalam bayangan itu, segala skandal yang lahir dari perut UMNO seperti 1MDB, Felda, Majlis Amanah Rakyat (MARA), Tabung Haji dan banyak lagi yang melibatkan institusi Melayu bukan lagi satu isu ‘panas’ bagi PAS. Kerana matlamat yang lebih penting adalah untuk menyatukan umat Islam-Melayu yang terpisah sejak sekian lama.
Tapi dipisahkan oleh apa? Ideologi? Politik? Ini yang sering gagal dijawab ‘puak penyatu’ dengan tuntas dan secara saintifik malah penuh bertamadun.
Namun saya percaya, masih ada penyokong PAS yang waras dan sedar tentang permainan Hadi Awang yang sememangnya dilihat seolah-olah ‘gila kuasa’ apabila cuba membahagi-bahagikan negeri seperti dialog dua penyamun dalam filem Nujum Pak Belalang karya Allahyarham P. Ramlee: “Satu untuk kau, satu untuk aku” ketika membahagikan hasil curian mereka di sebuah gua.
Cuma berapa peratus penyokong PAS yang ‘menolak secara diam’ Hadi Awang, Allahu Alam, tidaklah diketahui oleh saya mengenai itu. Yang pastinya pilihan raya umum dan keputusan PAS dalam pembahagian kerusi akan menentukan jatuh bangun parti Agama paling lama bertapak di Malaysia itu.
Persoalan yang perlu dijawab kini, dan harus disegerakan oleh penyokongnya adalah ke mana arah tuju PAS selain menegakkan RUU 355? Adakah menjalin kerjasama dengan UMNO yang korup atas dasar ‘politik matang’ atau bersendirian dan kesunyian melawan segala ketirisan yang berlaku?
Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers