JOM MASUK PERTANDINGAN....



Sementara santai-santai menunggu debat antara Tun Mahathir Mohamad dengan Nazri Aziz pada 7 April depan dan tidak diketahui sama ada ia menjadi kenyataan atau sebaliknya, rakyat Malaysia kini dihidangkan pula dengan dua pertandingan menulis karangan atau esei oleh dua ahli politik.

Ketua Penerangan UMNO, Annuar Musa yang dicabar oleh Lim Kit Siang agar menyamannya berikutan digelar bapa segala rasis, menganjurkan pertandingan itu untuk membantunya mendapatkan bukti-bukti yang menunjukkan adakah benar Ahli Parlimen Gelang Patah itu  seorang yang rasis, anti Islam dan dikenali selama 51 tahun sebagai diktator?

Kata beliau, tujuannya menganjurkan pertandingan itu ialah kerana mahukan orangramai membuat penyelidikan mengenai Lim Kit Siang memandangkan  beliau sendiri tidak mempunyai cukup masa untuk berbuat demikian.
Annuar menawarkan hadiah RM10 ribu kepada pemenang yang dapat menampilkan fakta dan bukti paling tepat dan menarik dalam karangan mereka.

Tarikh tutup pertandingan ialah 31 Mei dan penyertaaan boleh dihantar terus ke pejabat Ketua Penerangan UMNO di PWTC, Kuala Lumpur.

Susulan kepada pertandingan yang diinisiatifkan oleh Annuar itu, bekas menteri yang kini menjadi ahli DAP, Zaid Ibrahim turut tampil menganjurkan satu lagi pertandingan menulis karangan atau esei juga.

Menawarkan hadiah RM10 ribu, sama seperti yang diberikan oleh Annuar, tajuk karangan bagi pertandingan yang dianjurkan oleh Zaid ialah "Najib PM Paling Teruk" bagi negara ini.

Kata beliau, mereka yang menulis karangan mengenai Perdana Menteri dalam pertandingan yang dianjurkannya mestilah "jujur dan penuh tragis" dalam menggambarkan kegagalan dan sifat sebenar Najib memimpin negara.

Segala maklumat mengenai pertandingan itu, jelas Zaid, boleh diperolehi dengan mendaftar melalui email di carbofree@gmail.com.
Berikutan ada dua pertandingan ini, yang mana satukah paling menarik untuk disertai oleh rakyat Malaysia?

Anjuran Annuar Musa atau Zaid Ibrahim?

Pertandingan anjuran Annuar mungkin hanya bermanfaat untuk membantu beliau melaksanakan kerja-kerja penerangannya bagi menghadapi PRU 14 serta  melakukan kerja-kerja politik terhadap DAP dan  bukan sama-sekali untuk menyaman Lim Kit Siang.

Manakala bagi pertandingan yang dianjurkan oleh Zaid, ia barangkali amat berguna sebagai landasan bagi rakyat Malaysia meluahkan segala kemarahan, kekecewaan, sakit hati dan segala macam perasaan lainnya terhadap Najib.

Sambil-sambil marah, mungkin maki, keji, balun dan sebagainya, untung-untung dapat pula RM10 ribu sebagai ganjaran...siapa nak bagi?

Penulis, wartawan, blogger, malah pengomen-pengomen dalam blog atau portal, tentunya amat digalakkan menyertai salah satu atau kedua-dua pertandingan tersebut berdasarkan pilihan masing-masing. (ShahbudinHusin 23/03/2017).

No comments: