Saturday, March 25, 2017

Insiden Kg Bobotong: Jabatan Perhutanan Sabah digesa hormati hak tanah pribumi -DAP Sabah



KOTA KINABALU, 25 MAC: Tindakan Jabatan Perhutanan Sabah bersama sekitar 140 anggota merobohkan 16 buah rumah penduduk Orang Asal di Kampung Bobotong pada 16 Mac lalu terus mendapat perhatian.
Dalam insiden malang itu, penduduk yang telah mendiami kampung tersebut sejak empat generasi hilang tempat tinggal apabila pihak berkuasa merobohkan kediaman mereka.
Pengarah Jabatan Perhutanan Sabah, Sam Mannan mendakwa antara lain tindakan itu terpaksa dibuat memandangkan rumah-rumah berkenaan kerana menceroboh kawasan Rizab Hutan Sg Pinangah (FMU 17B).
Jabatan Perhutanan juga sebelum ini dilaporkan telah memberikan notis pengosongan 14 hari bertarikh 23 Februari 2017 lalu kepada penduduk sebelum operasi dijalankan.
Persoalannya, apakah justifikasi pihak berkuasa untuk bertindak melulu  merobohkan rumah penduduk?
Persoalan itu dibangkitkan Pengerusi DAP Sabah, Stephen Wong Tien Fatt yang melahirkan rasa kesal dengan sikap Jabatan Perhutanan Sabah menangani isu terbabit.
“Apa juga status berkenaan tanah itu, termasuklah intrepetasi undang-undang oleh Sam Mannan dan Jabatan Perhutanan Sabah haruslah menghormati hak asasi manusia.
“Jabatan Perhutanan tidak boleh menganggap semua pribumi, Orang Asal di Sabah tahu di mana letaknya sempadan rizab hutan, ia tak pernah disukat betul-betul melainkan hanya kebelakangan ini,” katanya kepada Roketkini.
Stephen turut membangkitkan mengenai isu pertindihan antara Tanah Hak Adat (NCR) dan Rizab Hutan yang sering menimbulkan kekeliruan dan pertikaian.
“Tanah NCR boleh wujud dalam Rizab Hutan sehingga sekarang kerana kerajaan tidak menjelaskan mengenai status tanah NCR dalam kes seperti ini,” kata Ahli Parlimen Sandakan itu.
Dalam perkara berkaitan, beliau turut mengulas kenyataan Jabatan Perhutanan yang turut membangkitkan isu pembayaran Permit Pendudukan (Ocupation Permits) yang tidak diendahkan sebahagian penduduk yang mendiami kawasan tersebut.
“Permit Pendudukan ini adalah untuk mereka yang tiada hak ke atas tanah itu. Tapi dalam kes ini, bagaimana kerajaan boleh minta bayaran OP kepada Orang Asal yang tinggal di kampung halaman mereka sendiri?
“Tindakan begitu semacam minta kebenaran untuk tinggal dalam rumah sendiri,” ujar beliau.
Menegaskan kenyataannya sekali lagi, Stephen berkata pihak berkuasa tidak boleh bertindak sewenang-wenang ke atas rakyat.
“Ia sepatutnya dijalankan secara rundingan sehingga sebarang keputusan dapat dibuat. Rakyat juga mempunyai hak untuk mempertahankan tanah dan kediaman mereka,” katanya lagi. –Roketkini.com
Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers