Ini bukti Melayu, Islam terbela di Pulau Pinang, DAP jawab Shahrizat




KUALA LUMPUR, 23 MAC: Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil nampaknya masih kabur dengan kejayaan kerajaan negeri Pakatan Harapan membela nasib semua kaum, termasuk Melayu sepanjang memimpin Pulau Pinang.
Bekas menteri itu semalam menuduh kononnya orang Melayu dan bumiputera tidak ada tempat di Pulau Pinang sejak ditadbir DAP dan Pakatan Harapan.
Bagaimanapun, tuduhan jahat itu sama sekali tidak munasabah jika dibandingkan dengan segala pelaksanaan dasar yang telah dijayakan kerajaan negeri selama ini, kata Penolong Setiausaha Publsiti DAP Pulau Pinang, Syerleena Abdul Rashid.
Penolong Setiausaha Publisiti DAP Pulau Pinang, Syerleena Abdul Rashid.
Menurutnya, sejak 2008, kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP telah memperkenalkan banyak program yang bertujuan untuk membantu rakyat, termasuk orang Melayu.
Salah satunya adalah melalui pelaksanaan sistem tender terbuka yang mampu menghentikan amalan kronisme dan memberi peluang kepada semua berdasarkan merit, kelayakan dan pengalaman.
Melalui pelaksanaan sistem tersebut, sekurang-kurangnya 70 peratus kontrak kerajaan telah dianugerahkan kepada syarikat Melayu dan bumiputera jelas Syerleena.
“Ini sama sekali bercanggah dengan tuduhan Shahrizat,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Kompleks Mahkamah Syariah Pulau Pinang dirasmikan Ketua Menteri, Lim Guan Eng.
Selain itu, kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang juga telah memperkenalkan banyak program bantuan kewangan termasuk Agenda Ekonomi Saksama yang berjaya membantu 1,375 keluarga bagi tahun 2016. 
“81 peratus penerima bantuan itu adalah dari kaum Melayu.
“Melalui program berkebajikan pro-rakyat ini, Pulau Pinang merupakan negeri pertama yang berjaya menghapuskan kemiskinan tegar,” ujarmya.
Selain itu, antara pelaksanaan dasar Kerajaan Negeri Pulau Pinang lain yang membela Melayu dan Islam adalah:
  • Pembinaan Kompleks Mahkamah Syariah bernilai RM36 juta sebagai usaha meningkatkan syiar Islam di Pulau Pinang
  • Mendapatkan tanah dari bukan Islam untuk tujuan meluaskan tanah perkuburan Islam di negeri itu
  • Memperuntukkan dana kepada pembangunan hal ehwal Islam sebanyak RM55.85 juta bagi tahun 2016 sahaja. Sedangkan hanya RM37.86 juta diperuntukkan oleh kerajaan Barisan Nasional pada 2007
  • Menganugerahkan biasiswa kepada pelajar-pelajar Muslim melalui Zakat Pulau Pinang. RM600 diberi kepada pelajar Sekolah Agama Rakyat manakala dana RM20,000 diperuntukkan untuk pelajar Muslim menyambung pengajian di peringkat universiti.
Semua ini, kata Pengarah Pendidikan Politik Wanita DAP Pulau Pinang itu, menunjukkan tohmahan kononnya Melayu dan Islam tidak terbela di Pulau Pinang hanyalah pembohongan yang dicanang bagi menakutkan rakyat.
“Mungkin Shahrizat dan pemimpin-pemimpin UMNO lain perlu cermin diri sendiri dulu sebelum menuduh yang bukan-bukan.
“Kita takkan pernah lupa bagaimana rakyat Malaysia dikhianati apabila skandal projek penternakan lembu bernilai RM250 juta didedahkan laporan Ketua Audit Negara pada 2010.
“Malah, keluarga Shahrizat didakwa menyeleweng wang itu menerusi National Feedlot Corporation,” kata Syerleena.

No comments: