Sunday, March 12, 2017

Cadangan kerajaan UMNO bina infrastruktur nuklear undang risiko – Pakatan Harapan



KUALA LUMPUR, 12 MAC: Pakatan Harapan membantah keras cadangan kerajaan UMNO-Barisan Nasional (BN) untuk membina infrastruktur nuklear di negara ini ekoran risiko dan kosnya yang terlalu besar.
Dalam satu kenyataan bersama, Pakatan Harapan berkata, pembinaan infrastruktur nuklear adalah sangat berbahaya di kawasan yang terdedah kepada bencana gempa bumi.
“Sekalipun Malaysia tidak tergolong dalam negara di garis gempa bumi tetapi kajian menunjukkan garisan itu sudah berubah sejak kejadian gempa di Gunung Kinabalu, Sabah,” kata kenyataan itu.
Manakala kosnya pula, menurut Pakatan Harapan memetik laman web Union of Concerned Scientists (UCS), menelan kira-kira AS$2 bilion hingga AS$4 bilion bagi pembinaan jentera elektrik dan penyelenggaraannya, malah boleh mencecah AS$9 bilion atau RM40.6 bilion.
“Pakatan Harapan khuatir kos semahal itu akhirnya terpaksa ditanggung rakyat apabila harga pelbagai barangan naik akibat kesan domino. Sedangkan, rakyat sudah terhimpit dengan bebanan pelbagai kenaikan harga,” kata kenyataan itu.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Kuantan (PKR), Hajjah Fauziah Salleh, Pengarah Strategik Amanah, Dr. Dzulkefly Ahmad dan Ahli Parlimen Klang (DAP), Charles Santiago.
Ia bagi mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nancy Shukri seperti dilaporkan media Selasa lalu yang menyatakan bahawa Malaysia sudah bersedia untuk mempunyai infrastruktur kuasa nuklear sendiri.
Projek mega UMNO kurang memuaskan
Mengulas lanjut, Pakatan Harapan berkata, mereka meragui kemampuan kerajaan UMNO-BN untuk membina infrastruktur nuklear itu memandangkan projek di bawah seliaan kerajaan negeri yang diperintah parti itu sebelum ini terbukti gagal.
“Reputasi kerajaan UMNO-BN berdasarkan rekod pembinaan projek-projek mega di negara kurang memuaskan, seumpama Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Terengganu runtuh pada 2013.
“Kami turut khuatir tragedi sedemikian berulang akibat kesilapan atau kecuaian ketika pembinaan dan operasi, selain kemungkinan juga wujud unsur rasuah,” ujar kenyataan itu.
Justeru itu, Pakatan Harapan mencadangkan supaya kerajaan mempergiatkan lagi penyelidikan mengenai penggunaan teknologi hijau dan tenaga boleh baharu (TBB) yang kurang berisiko seperti kuasa nuklear.
“Umpamanya, Malaysia harus mengoptimumkan upaya teknologi solar, lebih-lebih lagi negara ini memiliki kelebihan kerana menerima cahaya matahari sepanjang tahun.
“Malaysia juga boleh meneruskan kajian penyelidikan dan pembangunan berkaitan tenaga ombak yang pernah dijalankan universiti di negara ini. Malah, kerajaan sepatutnya mencari jalan untuk mengkomersilkannya,” katanya kenyataan itu.
Pakatan Harapan juga mencadangkan supaya bekalan elektrik yang terhasil daripada Projek Hidro Elektrik Bakun di Sarawak disalurkan ke Semenanjung Malaysia melalui kabel dasar laut.
Ini kerana, katanya, berdasarkan kenyataan bekas Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui sebelum ini, penyaluran elektrik daripada Hidro Bakun itu memakan kos yang rendah berbanding penggunaan loji janakuasa gas dan arang batu.
“Malaysia juga ada pilihan lain yang lebih baik dengan mengutamakan teknologi biomass. Ini kerana bahan biomass boleh diperolehi dengan mudah dengan jumlah yang banyak, boleh diperbaharui dan mampu menjana tenaga elektrik.
“Secara tidak langsung, ia juga boleh mengurangkan masalah pelupusan sisa pepejal di Malaysia,” kata kenyataan itu.
Malah, menurut kenyataan itu lagi, negara luar seperti Jerman sudah lama meninggalkan cadangan untuk membina infrastruktur tenaga nuklear dan beralih kepada tenaga kincir angin berikutan peristiwa tragedi tumpahan bahan radioaktif itu di Fukushima, Jepun. – Roketkini.com
Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers